Pilih Bahasa

Bekas pelajar perubatan tajaan Yayasan Sabah anjur program pemeriksaan kesihatan amal

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU:  Alumni pelajar perubatan daripada Mesir yang menerima tajaan biasiswa dari kerajaan negeri dan Yayasan Sabah tampil menjalankan tanggungjawab sosial bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan khususnya untuk mendapatkan perubatan dan pemeriksaan kesihatan.

Pegawai perubatan yang kini berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth, Dr Wan Sherhan Seruji berkata usaha murni itu adalah hasil ilham bersama rakan-rakan yang telah lama dipendam sejak mula menamatkan pengajian satu masa dahulu.

Bekas penuntut perubatan tajaan Yayasan Sabah (kanan) membantu orang awam yang datang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Dewan Al-Farabi Masjid Jamek Kampung Likas. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

“Usaha klinik amal ini sememangnya sejak mula-mula saya menjadi doktor, telah saya kumpulkan azam dan bersama rakan-rakan yang dahulunya kami semua ditaja pengajian oleh kerajaan negeri.

“Kami merasakan kini telah tiba masanya untuk kami menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat kerana satu masa dahulu kami juga telah dibantu kerajaan untuk merealisasikan impian melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya dalam majlis rumah terbuka di sini semalam.

Menurut Wan Sherhan usaha itu dimulakan dua minggu sebelum ketibaan Ramadan bertempat di Dewan Al-Farabi Masjid Jamek Kampung Likas setiap Jumaat selepas solat Magrib dan Isyak dengan pasukan khidmat amal itu terdiri daripada 30 doktor dan beberapa jururawat.

Wan Sherhan (kiri sekali) bersama keluarga Datuk Seruji Nawawi (empat dari kiri) merakamkan kenangan bersama tetamu yang hadir dalam majlis rumah terbuka keluarga beliau di Likas. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Katanya ahli pasukan perubatan dibahagikan mengikut tugasan untuk menjalankan khidmat ini secara bergilir-gilir memandangkan masing-masing mempunyai komitmen dalam bidang kerja hakiki sebagai pengamal perubatan,” katanya.

“Dalam sesi tersebut, kami mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma bagi tekanan darah, kandungan gula dan kami juga membekalkan ubat-ubatan asas kepada pesakit yang datang misalnya pesakit batuk, demam, selsema dan cirit-birit.

“Kita juga memberikan khidmat nasihat kesihatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak tidak mengira siapa pun dia,” katanya lagi.

Wan Sherhan juga memberitahu bahawa pasukannya mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk turut serta menyertai klinik amal.

“Jika ada orang ramai di luar sana yang berminat untuk menyertai misi membantu golongan yang memerlukan ini, amat dialu-alukan dan tidak semestinya mesti berada dalam bidang perbuatan jika mahu turut serta dalam misi klinik amal,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sherhan berkata, pasukan klinik amal tersebut juga akan menerima jemputan sekiranya ada jemputan daripada pihak luar.

“Berdasarkan sambutan baik ini kami merancang untuk bergerak ke luar kawasan lain dan sekiranya ada pihak yang ingin menjemput kami, kami sedia menerima jemputan dan akan berkunjung ke kawasan tersebut untuk menjalankan misi klinik amal kami.

“Insya Allah, perancangan kami seterusnya adalah untuk mengadakan program ala-ala kem kesihatan,” katanya lagi.

Selama sebulan usia khidmat klinik amal beroperasi, bilangan pesakit yang telah menerima rawatan dan berkunjung untuk mendapatkan khidmat kesihatan adalah melebihi 300 pesakit.

“Kami pada awalnya menggunakan dana persendirian untuk bekalan perubatan namun sekarang kami bersyukur kerana kami juga turut disokong oleh orang-orang persendirian dan klinik-klinik bagi bekalan ubat-ubatan asas untuk pesakit,” ujar beliau. – SabahNewsToday