Pilih Bahasa

BEKAS PEMIMPIN UMNO SABAH AKAN DISAMAN

Oleh Alfred Petrus

Tan Sri Annuar Musa. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah yang meninggalkan parti tersebut akan berhadapan dengan saman.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata saman yang akan dikenakan kepada semua bekas anggota Umno itu adalah melalui kewajipan berkontrak (contractual obligation) yang diberikan kepada mereka sebelum ini.

“Semua mereka yang keluar daripada parti akan menerima saman dan ini bukan saman untuk menghalang mereka daripada keluar parti.

Tan Sri Annuar Musa (duduk tiga dari kanan), Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar (duduk dua dari kanan) dan pemimpin Umno Sabah selepas perjumpaan di Hotel Le Meridien hari ini. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Untuk melompat cara belalang, katak, melompat dan masuk balik. Itu pilihan mereka.

“Tetapi dari segi parti, tindakan yang kita ambil ini atas ‘contractual obligation’ mereka kepada parti,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Perjumpaan Setiausaha Agung Umno bersama pemimpin Umno Sabah di Hotel Le Meridien pada Jumaat.

Tambahnya mantan Ahli Parlimen dan Adun Umno Sabah telah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jelasnya kesemua bekas pemimpin parti itu menerima dana dan bantuan-banntuan daripada parti untuk mendokong amanah termasuk menggunakan lambang parti dengan tandatangan presiden Umno sebagai keizinan.

“Mereka menyertai parti lain, kita tidak boleh menghalang mereka, tapi seperti mana yang mereka berikral dengan Umno, mereka ada kebertanggungjawapan tertentu.

“Kontrak adalah kontrak, ini bukan pengajaran. Sama ada di bawah perlembagaan atau Undang-undang Kontrak yang mana selagi mereka keluar parti, tetap akan di saman.

“Mereka bertanding atas nama BN. Atas dasar mereka membawa amanah dan mereka telah pecah amanah tersebut,” jelasnya.

Annuar menegaskan bekas pemimpin Umno Sabah yang ingin kembali semula menyertai parti tersebut adalah isu berlainan dan saman tetap difailkan.

Namun jelasnya saman keluar parti tersebut tidak melibatkan ahli biasa dan yang tidak bertanding pada pilihan raya lalu. -SabahNewsToday