Pilih Bahasa

Belanjawan Negeri 2020 “rawat” kelemahan perkhidmatan awam Sabah – Jaujan

KOTA KINABALU : Belanjawan Negeri 2020 disifatkan sebagai bajet ‘rawatan’ terhadap kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam perkhidmatan awam Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, belanjawan itu adalah bagi merawat kehilangan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran serta ekonomi Sabah.

Datuk Jaujan Sambakong. Gambar Fail SNT

“Belanjawan kali ini adalah bagi memantapkan perkhidmatan awam dan mewujudkan strategi di setiap kementerian yang ada bagi melaksanakan pembangunan.

“Sebab itu belajawan kali ini kita menyentuh dengan kenaikan gred, pangkat dan latihan-latihan yang akan dilakukan agar kakitangan awam kita lebih berdaya saing,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) 2019, di sini semalam.

Beliau berkata sekalipun ada banyak belanjawan diberikan tetapi pentadbiran tidak cekap, sudah pasti setiap masalah yang dihadapai sukar diatasi.

Katanya, setiap kementerian ada strategi tersendiri, untuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hijau hanya diberikan peruntukan sebanyak RM190,000.

“Sudah pasti orang cakap ianya tidak mencukupi tetapi kita bukan berdasarkan bajet diberikan tetapi pelan yang sudah dirancangkan.

“Ini penting sebab awal-awal lagi kita sudah mantapkan pentadbiran agar pegawai kita memahami perkara ini, saya ingat bajet tidak menjadi masalah kepada kita,” katanya.-SabahNewsToday