Pilih Bahasa

Belia diseru rebut peluang industri gelombang kedua Sipitang

Oleh Sabah News Today

SIPITANG: Golongan belia mestilah peka terhadap perkembangan industri dari masa ke semasa dan memanfaatkannya sebagai  peluang perniagaan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata belia perlu faham dan bersedia  bahawa  industri gelombang kedua di Sipitang akan menjadi kenyataan apabila  Samur 2.0 dan industri-industri lain yang sedang dirancang dibangunkan nanti.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob sedang meneliti produk yang dilancarkannya sambil disaksikan Kamis (kiri) , Matlin (dua kiri) , Suhaimi (tiga kiri), Awang Osman (dua kanan) dan Ira (kanan). Gambar SNT/KP&I

“Saya mahu penduduk di sini, khususnya golongan belia agar belajar dari pengalaman lalu. Dahulu semasa Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dan Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) mula dibina kebanyakan kita menjadi penonton kerana tidak berusaha memanfaatkan hiliran ekonomi yang ada seperti kadar sewa rumah yang tinggi, permintaan terhadap keperluan harian meningkat dan sebagainya. Justeru itu Pada hari ini saya ingin mengingatkan agar kita bersedia dan melengkapkan diri dengan ilmu yang relevan mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Lonjakan Ekonomi Luar Bandar (Lebar) Peringkat Daerah Sipitang 2019.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob. Gambar SNT/Ihsan KP&I

Hadir sama, Pengerusi BIMP-Eaga Negara Brunei, Datuk Seri Paduka Uataz AJ Awang Osman  Hj Awang Omar, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah, Pengarah Mara, Suhaimi Zainuddin, Ketua Daerah, OKK Kamis Daming, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pg Mohd Yacob Pg Omar dan Pengerusi Persatuan Usahawanita Daerah Sipitang (Unita), Haslinda Hadis.

Selain itu beberapa tokoh usahawan turut kelihatan seperti, Pemilik Aura Seri, Datin Ira Ghani, Jurulatih Komunikasi Berpengaruh di Malaysia, Rizal Rashid dan Pengusaha Arnab Village, Jubair Juhinin.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin menyeru agar usahawan Sipitang mengambil inasiatif melalui pendekatan baharu dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi.

Sebahagian pengunjung yang hadir pada majlis perasmian program Lonjakan Ekonomi Luar Bandar (Lebar) peringkat Daerah Sipitang. Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Saya melihat banyak kekurangan untuk kita melonjakan industri pelancongan  di sini seperti homestay dan produk pelancongan. Sebenarnya banyak yang dapat dimanfaatkan sebagai produk pelancongan contohnya seoerti perusahaan restoran ikan air tawar, makanan laut  segar, makanan tradisi dan produk tempatan yang belum dikomersialkan.

Dalam pada itu Dr Yusof turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tanah seluas 500 ekar untuk tanaman tanah tinggi di Kampung Ulu Bole.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob (Lapan kanan) merakam kenangan bersama pemenang pertandingan memasak jaguh kampung. Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Kerajaan melalui Jabatan Pertanian mempelawa kepada penduduk yang berminat dan komited untuk mengusahakan tanah  milik kerajaan tersebut,” katanya.

Pada program dua hari itu pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran dan jualan, pertandingan masakan jaguh kampung, pertandingan bunga, pertandingan gambus berkumpulan, Seminar Kerjaya dan Kemasukan ke IPTA/IPTS, Forum Keusahawanan, Klinik Keusahawanan dan Pameran Keusahawanan.-SabahNewsToday