Pilih Bahasa

Belum ada cadangan beri geran tahunan buat pengusaha pelancongan koperasi, persatuan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian, Kebudayaan dan Alam Sekitar sentiasa memberi sokongan padu kepada pengusaha tempatan yang giat berkecimpung dalam memajukan industri pelancongan dalam komuniti.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata antara langkah yang diambil bagi menggalakkan pengusaha tersebut ialah dengan mengagihkan peruntukan mengikut keperluan dari masa ke semasa yang disalurkan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Daerah (MTPD).

Christina Liew. Gambar Fail SNT

Menurut beliau peruntukan berkenaan untuk membiayai pelaksanaan kerja-kerja membina atau menaiktaraf kemudahan asas pelancongan kepada daerah yang aktif dalam membangunkan produk pelancongan luar bandar berasaskan komuniti.

“Kementerian saya melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sentiasa memberikan sokongan kepada pengusaha pelancongan tempatan yang menceburi industri pelancongan, tidak terkecuali pelancongan berasaskan komuniti.

“Bagi memastikan inisiatif pelancongan luar bandar ini terus maju dan berdaya saing, kementerian saya melalui STB bekerjasama dengan MTPD dan masyarakat setempat di daerah yg mempunyai potensi pelancongan dalam usaha membangunkan produk pelancongan seluruh daerah Sabah,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Jamawi Jaafar (Warisan-Kemabong) yang meminta kementerian mengkaji semula kaedah pelaksanaan untuk membantu pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.

Terdahulu dalam soalan awal, Jamawi bertanya sekiranya kementerian berhasrat untuk memberikan geran tahunan kepada koperasi yang ditubuhkan di peringkat kampung di Sabah.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menjelaskan kementerian itu setakat ini tidak berhasrat untuk memberikan geran tahunan kepada persatuan atau koperasi yang ditubuhkan di peringkat kampung.

Sebaliknya, Christina berkata pihaknya telah menetapkan Dasar Bantuan Kewangan iaitu semua permohonan bantuan kewangan perlu menepati objektif ditetapkan kementeriannya.

Antaranya ialah pembangunan industri pelancongan mampan dan bersaya saing, peningkatan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar serta perlindingan biodiversiti dan pemuliharaan dan perlindungan warisan budaya.

Katanya permohonan bantuan kewangan akan dipertimbangkan kes demi kes. – SabahNewsToday