Pilih Bahasa

Ben Simon ungguli Juara Lagu Popular KDM 2019, rangkul tiga kemenangan

Oleh Alfred Petrus

PENAMPANG: Penyanyi dan pencipta lagu tempatan, Ben Simon berjaya ungguli pentas Juara Lagu Popular (JLP) Kadazan Dusun Murut (KDM) 2019 yang julung-julung kali diadakan semalam dengan merangkul tiga anugerah.

Lagu Aaratan yang dihasilkan olehnya dan dinyanyikan oleh Elica Paujin berjaya memikat perhatian juri apabila dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Juara Lagu Popular (JLP) Kadazan Dusun Murut (KDM) 2019, semalam.

Ben (tiga kiri) dan Elica (empat kiri) menerima hadiah johan JLP KDM 2019. Gambar SNT/Alfred Petrus

Melalui kemenangan tersebut, johan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM7,000 dan trofi.

Selain lagu Aaratan, Ben juga dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan julung kali diadakan itu dengan tajuk lagu Siou Koupusanku sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Lagu Siou Koupusan bukan sahaja diciptakan oleh Ben namun lagu berkenaan dinyanyikan sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Dari kiri: Ben, Elica, kumpulan Atmosfera (tengah), Rosario dan Sharin merakamkan gambar kenangan bersama-sama selepas diumumkan sebagai pemenang. Gambar SNT/Alfred Petrus

Dalam pertandingan JLP KDM 2019, selain memenangi dua lagu ciptaannya, Ben turut dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,500 berserta trofi.

Ben berkata lagu ciptaannya yang dipilih sebagai juara itu diilhamkan pada Mac tahun ini dan siap selama sebulan.

Persembahan mantap Elica pada malam pertandingan tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya lagu beliau itu juga mula diudarakan di corong radio tempatan bermula April lalu.

Sementara itu, tempat ketiga JLP KDM 2019 jatuh kepada lagu berbahasa Murut iaitu Tangi Nu Huang ciptaan Sharin Amud Shapri dan dinyanyikan oleh Rosario Bianis dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.

Rosario dengan persembahan yang memukau. Gambar SNT/Alfred Petrus

Selain itu, dalam pertandingan tersebut, Rosario turut dianugerahkan sebagai Vokal Terbaik dan menerima hadiah wang tunai sejumlah RM1,500 berserta trofi kemenangan.

Bagi kategori Lagu Popular Sabahan 2019 yang mana pemenang dipilih melalui undian peminat di laman sosial, kumpulan Atmosfera mendahului pilihan sebanyak 474 undian melalui lagi Original Sabahan.

Atmosfera menang kategori Lagu Popular Sabahan 2019. Gambar SNT/Alfred Petrus

Atmosfera berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM5,000 berserta trofi pada malam tersebut.

Dalam perkembangan lain Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata penganjuran JLP KDM 2019 adalah satu usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda dalam rumpun KDM.

Lagu Poihoon Zou Daa Diau yang didendangkan oleh Becker Ray Benedict. Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri 2019 berkata inisiatif memelihara bahasa KDM itu sudah pasti melalui lirik dan identiti muzik tempatan dalam lagu yang dipertandingkan.

“Pertandingan JLP KDM 2019 adalah satu acara yang bertujuan untuk mengiktiraf bakat-bakat komposer, penulis lirik dan artis dalam usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda dalam rumpun KDM.

Persembahan bersahaja Rushdy Raphael dengan lagu Nasindualan ciptaan Sharin Amud Shapri. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Bahasa merupakan identiti dan asas peraduan bagi semua kaum apatah lagi dalam rumpun KDM yang mempunyai lebih 40 sub etnik dan bahasa serta dialek yang berbeza.

“Sekiranya lenyap bahasa maka sesuatu kaum itu juga akan pupus. Dalam bahasa Dusun dikatakan ‘Atagak Boros, Atagak Nogi Tinaru’.

“Oleh itu, penganjuran pertandingan ini adalah sebagai salah satu inisiatif dan cara untuk kita memelihara bahasa kita iaitu melalui lirik dan identiti muzik tempatan dalam lagu yang dipertandingkan,” katanya.

Ben menyanyikan lagu ciptaannya sendiri. Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan JLP KDM 2019 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.

Tambahnya bagi memupuk penghayatan yang lebih baik terhadap keaslian bahasa ibunda, kriteria pemilihan bagi setiap lagu yang dipertandingan adalah berdasarkan kepada pengunaan bahasa ibunda dalam rumpun KDM sahaja

“Ia merupakan satu usaha dalam merakyatkan seni dan budaya KDM yang bertujuan mendekatkan kembali bahasa ibunda kepada masyarakat bersesuaian dengan keinginan untuk mendidik dan menghebahkan kepentingan serta penghayatan nilai budaya, seni dan warisan KDM kepada masyarakat agar selari dengan hasrat penyatuan kaum di negeri ini,” jelasnya. -SabahNewsToday