Pilih Bahasa

Benarkan restoran Muslim beroperasi dari 3ptg-3pagi semasa Ramadan: DPPIMS

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) merayu kepada kerajaan Negeri dan Pusat agar waktu operasi restoran Muslim semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diubah terutama menjelang tibanya bulan Ramadan.

Penasihat Kehormat Datuk Hj Baisul Khan Salman Faris berkata sejak PKP dikuatkuasakan semua restoran hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran makanan,  bungkus untuk bawa balik dan pandu lalu daripada pukul 6 pagi hingga 6 petang.

Datuk Haji Baisul Khan Salman Faris. Gambar Fail SNT

Namun, menurut beliau had masa operasi tersebut kurang sesuai setibanya bulan Ramadan kelak.

Oleh itu, DPPIMS memohon agar pihak kerajaan mengubah masa beroperasi terutama bagi restoran Muslim bemula dari 3 petang hingga 3 pagi.

Ini adalah bagi membolehkan pelanggan Islam mendapatkan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur, katanya.

Beliau menambah beberapa restoran di kawasan tertentu, juga perlu diberi pilihan untuk beroperasi daripada 6 pagi hingga 3 pagi bagi memberi kemudahan dan pilihan kepada pelanggan bukan beragama Islam.

“Ramai pelanggan meminta kami memanjangkan waktu perniagaan memandangkan sejak waktu operasi dihadkan dibawah PKP pelanggan sukar mendapatkan makanan untuk makan malam.

“Tidak semua rakyat dapat memasak sendiri di rumah dan kadang kala mereka mengalami kekurangan bahan mentah dan mencari restoran untuk memesan makanan.

“Peniaga restoran menerima banyak panggilan diwaktu awal malam daripada pelanggan untuk meminta kami menyediakan apa apa makanan, asal boleh menghilangkan lapar,” katanya.

Oleh itu, Baisul Khan berkata wajarlah kerajaan mempertimbangkan restoran dibuka sehingga jam 9malam buat masa sekarang dan masa operasi tersebut dipanjangkan hingga 3pagi semasa bulan puasa.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan semua ahli DPPIMS yang mengusahakan restoran sentiasa memastikan jarak sosial dipatuhi semasa pelanggan membeli makanan di premis masing-masing.

Dalam pada itu, DPPIMS turut merayu agar kerajaan dan pihak pengurusan penghantaran makanan seperti Food Panda, Grab Food, Morefun dan lain lain untuk memanjangkan tempoh operasi mengikut permintaan yang diluluskan oleh kerajaan.

“Kita mahu memastikan rakyat mendapat makanan apabila mereka memerlukannya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelanjutan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 14 April untuk dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April.

Puasa pada tahun ini dijangka bermula 24 April.-SabahNewsToday