Pilih Bahasa

Bendahari DAP Sabah angkat sumpah ADUN dilantik

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) — Bendahari DAP Sabah Ronnie Loh Ee Eng hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abbas Syed Ali di dewan bersidang DUN, di sini.

Majlis mengangkat sumpah itu disaksikan oleh kedua-dua Timbalan Speaker DUN Sabah iaitu Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun, selain turut dihadiri ADUN Likas Tan Lee Fat.

Ronnie Loh Ee Eng. Gambar Fail SNT

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Loh mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas pelantikan tersebut selain turut melahirkan penghargaan kepada pemimpin dan anggota DAP Sabah kerana menyokong pemilihannya sebagai ADUN dilantik.

“Saya akan berjumpa dengan ketua menteri terlebih dahulu, dan selepas itu baharu saya tahu apakah tugasan saya seterusnya. Bagaimanapun, saya akan terus menjalankan tanggungjawab sedia ada termasuk sebagai pemimpin pembangunan masyarakat di Likas,” katanya.

Loh, 55, berasal dari Pulau Pinang dan telah mendapatkan status Pemastautin Tetap di Sabah pada 1998 itu mula bergiat aktif dalam arena politik selepas menyertai DAP tujuh tahun lepas sebelum memegang jawatan sebagai bendahari parti pada 2015.

Ronnie Loh (dua kanan) selepas mengadakan perjumpaan dengan pemangku Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Poon (tengah) selepas menangkat sumpah pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan KKKR

Sebelum ini, wujud pertikaian terhadap pemilihan Loh sebagai ADUN dilantik kerana beliau bukan dilahirkan di Sabah, namun, Mohd Shafie menjelaskan pemilihan tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan selain ADUN dilantik dicadangkan DAP itu adalah seorang warganegara Malaysia menetap di Sabah.

— BERNAMA