Pilih Bahasa

Bendung aktiviti pegeboman ikan, Kerajaan mahu pembekal bahan buat bom dan peledak disiasat

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu siasatan segera dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang membekalkan bahan digunakan oleh penduduk atau nelayan untuk membuat bom ikan.

“Sekatan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas penggunaan bahan membuat bom ikan, siasat adakah bahan itu diperolehi dari dalam atau luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di Grand Ballroom, Hotel Marriot, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita perlu melihat perkara ini dengan teliti, justeru saya fikir siasatan harus dibuat untuk membendung aktiviti penggunaan bom ikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung insiden membabitkan kematian juruselam tempatan dan dua pelancong China dipercayai akibat terkena bom ikan ketika menyelam di Pulau Kalapuan, Semporna pada Jumaat lalu.

Mohd Shafie berkata dalam hal ini penguatkuasaan amat penting untuk menangani isu penggunaan bom ikan oleh individu atau nelayan kerana tindakan itu bukan sahaja merosakkan ekosistem tetapi juga mengancam nyawa manusia.

Tegas beliau lagi selaku Ahli Parlimen Semporna, perkara tersebut telah beliau nyatakan berulang kali bahawa penggunaan bom ikan adalah dilarang.

Dalam perkara ini katanya cara terbaik untuk mengatasinya adalah mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang didapati ingkar arahan pihak berkuasa.

Mengenai saranan agar kerajaan negeri mengharamkan semula penggunaan pam bot, Mohd Shafie berkata pihaknya akan mengambil kira semua cadangan oleh mana-mana pihak untuk diteliti.

“Ia (pam bot) hanya sebuah bot, perkara paling penting ialah kita mahu mencari dalang yang menjual bahan digunakan untuk membuat bom ikan itu,” jelasnya. – SabahNewsToday