Pilih Bahasa

Bendung kes penyakit Tibi di Sabah: Japlin

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat diminta agar mengambil tindakan segera membendung penyakit tibi di Sabah.

Adun Usukan (Bersatu) Datuk Japlin Akim berkata Jabatan Kesihatan negeri Sabah ada menyatakan bahawa sebanyak 5,008 kes penyakit tibi di rekodkan di negeri ini pada tahun lalu.

Datuk Japlin Akim. Gambar Fail SNT

Menurut laporan, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 904 kes, diikuti oleh Sandakan mencatat 594 kes, Tawau 455 kes, Semporna 388 kes, dan Lahad Datu 387 kes.

“Berpandukan statistik tersebut menunjukkan penyakit tibi masih berleluasa di negeri ini dan memerlukan perhatian serius dari semua pihak.

“Difahamkan juga bahawa 12 peratus hingga 13 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit ini adalah pendatang asing.

“Oleh itu saya berharap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan supaya penyakit ini dapat di kawal dari terus merebak,” katanya.

Mungkin salah satu caranya ialah menguatkuasakan larangan meludah di merata rata tempat khususnya dikawasan gerai-gerai makanan.

“Saya lihat tabiat suka meludah merata-rata ini masih kelihatan jelas di sekitar Kota Kinabalu terutama dikawasan pasar ikan pasar dan juga gerai-gerai makan,” ujarnya.

Menyertai perbahasan usul terimakasih terhadap ucapan dasar oleh TYT di Dewan Undangan Negeri hari ini, Japlin turut meminta kerajaan membina klinik kesihatan baharu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Kuala Abai yang telah ditutup.

Beliau juga tidak mengetahui sebab Klinik Kesihatan Kuala Abai telah ditutup.

“Dalam persidangan yang lalu, saya ada mengemukakan permintaan kepada kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat mengenai perlunya membina Klinik Kesihatan di Pulau Mantanani Kota Belud.

“Memandangkan pulau ini agak terpencil mempunyai penduduk melebihi 1,000 orang dan menjadi tumpuan pelancung luar dan dalam negeri, dan amat sukar untuk mendapatkan rawatan di tanah besar terutama musim tengkujuh.

‘Malangnya belum pun permintaan-permintaan itu dapat ditunaikan salah satu pula klinik kesihatan yang terdekat dengan pulau itu yang berada ditanah besar iaitu Klinik Kesihatan Kg Kuala Abai telah di tutup beberapa bulan yang lalu,” katanya.

Japlin juga membawa isu pertanian dan berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat menyelenggara pam-pam air serta sistem saliran bagi kemudahan pesawah khususnya di kawasan Timbang Dayang dan Kampung Tanjung Batu dalam kawasannya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah melancarkan Sabah Agriculture Blueprint pada tahun ini, dan memfokuskan aktiviti pertanian dalam sekala besar.

“Dengan ini secara tidak langsung daerah Kota Belud turut mendapat manfaatnya. Malah kerajaan negeri turut memberi penakanan terhadap pembangunan komoditi tanaman, penyelidikan dan pembangunan teknologi, pembangunan modal insan dan usahawan tani.

“Sesuai dengan halatuju kerajaan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri melalu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, yang terus memberi bantuan kepada sektor penanaman padi sawah di daerah Kota Belud,” katanya.

Kota Belud mempunyai 10,000 hektar keluasan padi sawah, menjadikan daerah ini berpotensi besar menjadi pengeluar bahan makanan utama di negeri Sabah.

Itupun dengan syarat keseluruhan 10,000 hektar tanah-tanah sawah itu dapat diusahakan sepenuhnya.

“Oleh itu, untuk memenuhi hasrat ini, saya menaruh harapan agar keperluan keperluan meningkatkan kemudahan saliran, iaitu sistem pengambilan dan pembuangan air ketanah tanah sawah hendaklah di selenggara dan di beri peruntukan yang secukupnya,” katanya.-SabahNewsToday