Pilih Bahasa

Bengkel Penjajaran Konstruktif FPEP UMS Perkemas Pengajaran Dan Pembelajaran

KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Penjajaran Konstruktif bagi memantapkan serta meningkatkan lagi kaedah dan kualiti penyampaian pengajaran para pesyarah.

Pengerusi pelaksana Bengkel, Dr. Junainah Jaidi berkata ia termasuk kaedah penyampaian di dewan kuliah, bilik tutorial serta pembelajaran menerusi sistem pembelajaran teradun atas talian (online blended learning).

Para pensyarah FPEP mengambil gambar kenangan sebelum bengkel bermula. Turut sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr. Rasid Mail (depan lima kiri). Gambar SNT/Ehsan UMS

“Ini merupakan sahutan terhadap inisiatif UMS dalam memperkasakan hasil pembelajaran yang menitikberatkan Outcome Based Education (OBE).

“Dalam masa yang sama, ia menyemarakkan lagi usaha UMS untuk sentiasa seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, yang baru-baru ini dalam amanat menterinya Dr. Maszlee Malik menyatakan bahawa universiti perlu bertindak sebagai hab untuk penerapan nilai yang mudah difahami dan mudah sebati ke dalam diri pelajar,” katanya.

Dr. Junainah berkata demikian ketika mengendalikan bengkel itu yang berlangsung di Hotelab FPEP UMS di sini, pada Sabtu.

Dr. Junainah ketika menyampaikan ceramah pada bengkel itu. Gambar SNT/Ehsan UMS

Beliau yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP menegaskan bahawa penjajaran konstruktif tersebut dilaksanakan bagi membolehkan para pensyarah dari setiap program dapat merancang bersama dengan lebih terperinci pembelajaran yang ingin dihasilkan agar ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Katanya ia akhirnya akan menghasilkan pelajar yang dapat menguasai lebih banyak ilmu sekali gus dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran apabila bergraduat kelak.

“Kita mahu graduan yang dihasilkan menepati keperluan industri sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan graduan yang terbukti bersedia memenuhi kehendak majikan.

“Apabila mereka bergraduat kelak mereka tahu kualiti yang mereka ada dan mereka berani untuk “menawarkan” diri kepada para majikan di luar sana,” tambah Junainah.

Suasana ketika bengkel berlangsung. Gambar SNT/Ehsan UMS

Sementara itu, salah seorang pakar rujuk bidang penjajaran konstruktif dan OBE UMS, Sharifah Milda Amirul memaklumkan penganjuran bengkel tersebut amat bertepatan bagi membolehkan para pensyarah akan lebih memahami dan meningkatkan kualiti hasil pembelajaran dalam mereka bentuk kursus atau kurikulum yang dikendalikan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud kesukaran untuk mengadaptasi kaedah pengajaran ini dalam kalangan pensyarah senior, beliau yang juga Pesnyarah Program Perakaunan FPEP berpandangan bahawa ia tidak akan berlaku.

“Ini adalah kerana pensyarah senior lebih berpengalaman dan lebih arif mengenai nilai yang perlu disampaikan dalam pengajaran.

“Pensyarah senior adalah sumber inspirasi kepada saya selaku pensyarah muda, cuma mungkin disebabkan oleh kaedah yang baharu ini menggunakan aplikasi teknologi sepenuhnya, maka ia membentuk cabaran kepada pemakaian kaedah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam ucapan perasmiannya menyatakan bengkel itu sebagai satu manifestasi kepada usaha menjayakan kajian semula kurikulum baharu UMS yang menekankan aspek kandungan pembelajaran, kaedah penyampaian dan kesediaan infrastruktur moden.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen yang ditunjukkan para pensyarah yang untuk hadir ke bengkel ini biarpun ia diadakan pada hujung minggu.

“Semangat dan keghairahan (passion) seperti ini sudah pasti akan membolehkan UMS untuk terus kekal relevan sebagai Universiti awam yang berdaya saing di pentas global,” katanya.-SabahNewsToday