Pilih Bahasa

BERANG TIDAK DAPAT WANG, ANAK DICEKIK LEHER

Oleh Mohd Adam Arinin

KENINGAU: Seorang lelaki mencekik leher anaknya yang berusia empat tahun dan mengugut melemparkannya ke tengah jalan raya selepas marah kerana tidak diberikan wang oleh isterinya di Kampung Feri Jalan Minawo, Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Asisten Superitendan Lee Nyuk Kim berkata suspek warga tempatan berumur 26 tahun itu ditahan polis selepas orang awam meleraikan tindakan agresifnya itu semasa di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak dan kini sedang dalam proses penceraian.

“Dalam tempoh penceraian pasangan ini, isteri dan anaknya menumpang sementara di rumah saudara mereka di sini,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Lee, suspek yang berasal dari Kampung Baginda di sini pergi ke kampung isterinya untuk meminta wang namun tidak dilayan dan menyebabkan suspek berang.

Susulan itu, suspek mengheret anak sulungnya berusia empat tahun di jalan sejauh 50 meter sebelum mengugut untuk membunuh dengan cara melemparkan anaknya ke tengah jalan raya yang ketika itu sedang dilalui banyak kenderaan.

“Anak sulung mangsa turut dicekik selama seminit dan tindakan suspek berjaya dihentikan oleh abang iparnya. Tindakan suspek menyebabkan anaknya mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurut Lee, suspek telah ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -SabahNewsToday