Pilih Bahasa

Berbeza fahaman politik, Mohd Shafie masih sahabat baik saya: Muhyiddin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Walaupun berbeza fahaman politik, itu tidak menghalang Perdana Menteri, Tan Sri Munhyiddin Yassin untuk menerima sambutan oleh Ketua Menteri kepada kerajaan sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal setibanya di Kota Kinabalu, pagi tadi.

Meskipun tidak lagi sehaluan dalam perjuangan politik seperti semasa kedua-duanya berada dalam jemaah Kabinet ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, Muhyiddin menyifatkan bahawa Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah sahabat baik beliau.

Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Mohd Shafie sebaik tiba di sini pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan JPM

“Sejak berzaman kami berjuang bersama-sama.. saya dan Mohd Shafie dibuang oleh perdana menteri, (kami) terkeluar dari jemaah menteri, kami dalam satu saf perjuangan. Allah kurniakan saya jadi PM hari ini, Alhamdulillah.

“Tapi cerita saya agak sedih ialah waktu mana saya memimpin negara sebagai perdana menteri, pimpinan Sabah tidak bersama saya … itu sahabat saya kerana dalam soal politik ini kadang-kadang hari ini sahabat, esok jadi lawan.

“Tetapi dalam mentadbir negara, sebaiknya kerajaan pusat dan negeri mesti sama sehati sejiwa. Saya tahu kerajaan Sabah ada sumber serta banyak khazanah yang belum dibangunkan.

“Saya sedar sejak dahulu banyak lagi usaha yang harus dilakukan yang kalau diserahkan (tanggungjawab) kepada negeri sahaja tak mungkin boleh selesai, kalau diserahkan kepada Persekutan sahaja pun tak boleh selesai, justeru kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sama-sama berjuang dalam Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin banyak masalah boleh selesai … itu logiknya,” ujar beliau lagi.

Muhyiddin berkata Kerajaan Persekutuan dan Sabah sewajarnya selangkah dan sehaluan dalam memastikan kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya. – SabahNewsToday