Pilih Bahasa

Beri peluang peniaga kraftangan di Pasar Malam Api-Api: Christina

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk memperluaskan lagi skop Pasar Malam Api-Api Gaya Street.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata pasar malam berasaskan makanan dan hiburan di hujung minggu berkenaan masih terdapat kekurangan dari segi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.

Christina (kiri) dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman melawat Api-Api Night Food Market atau Pasar Malam Api-Api. Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya penglibatan pengusaha produk tempatan seperti kraftangan adalah perlu untuk menarik lebih ramai pelancong dan mengetengahkan kesenian negeri.

“Nampaknya kita masih kurang satu elemen iaitu kraftangan tempatan.

Antara bakat muda tempatan dalam memainkan alat muzik bambu di pasar malam tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Jadi, saya sarankan agar DBKK dapat menempatkan peniaga-peniaga kraftangan tempatan di Api-Api Night Food Market ini.

“Ia dilihat sebagai nilai tambah tarikan pada pasar malam berasaskan makanan dan hiburan kita di bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika lawatan kerja bersama DBKK ke Pasar Malam Api-Api di Jalan Gaya malam tadi.

Christina (dua kanan) sempat beramah mesra dengan pengunjung di tapak pasar malam berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya ia adalah antara cara kerajaan negeri mempromosi dan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Sabah.

Selain itu, beliau juga mahu agar lebih ramai peniaga makanan dan minuman untuk berniaga di pasar malam yang beroperasi pada Jumaat dan Sabtu malam setiap minggu.

“Ini kerana, tempat ini sudah menjadi terkenal dengan kepelbagaian pilihan makanan dan minuman.

Christina (tengah) menerima baju sebagai cendera kenangan daripada kumpulan Yobi Busker yang membuat persembahan di Api-Api Night Food Market. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Tidak kurangnya dengan bakat-bakat anak muda tempatan dalam bidang seni nyanyian yang ditonjolkan di tengah-tengah pasar malam ini,” katanya.

Sementara itu, Christina melihat program yang membantu peniaga kecil untuk menambah pendapatan sampingan pada hujung minggu itu berkesan dan memperlihatkan perkembangan yang positif.

Christina (kanan) melawat salah satu gerai jualan makanan laut di pasar malam berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Dalam pada itu, beliau juga mahu Pasar Malam Api-Api berkenaan diteruskan selepas tamat tempoh enam bulan pelaksanaannya. -SabahNewsToday