Pilih Bahasa

BERI TUMPUAN PERKASA LATIHAN DAN PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERASASKAN CBDRM: TPM

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Semua pihak yang terlibat dalam pembuatan dasar dan pelaksanaan pengurusan bencana digesa memberikan tumpuan dalam memperkasakan peranan masyarakat dan agensi-agensi daerah dalam pengurusan risiko bencana melalui latihan dan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu perlu ke arah membentuk negara dan komuniti yang berdaya tahan bencana memandangkan trend bencana pada masa ini telah menunjukkan perubahan yang ketara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

“Jika dahulu kita hanya lebih memfokuskan kepada bencana alam seperti banjir, ribut dan tanah runtuh, kini kita banyak berdepan dengan bencana buatan manusia seperti kebakaran.

“Rakyat Malaysia haruslah bersyukur kerana secara geografinya Malaysia berada di luar sedikit daripada lingkaran api Pasifik berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang sering menghadapi bencana seperti gempa bumi dan ribut,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Kepada Mangsa-mangsa Kebakaran Kampung Pasir Putih Putatan di Dewan Serbaguna Putatan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan; Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Yahya Sulaiman dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyempurnakan gimik penyerahan bantuan persekolahan kepada anak mangsa kebakaran pada majlis berkenaan di Dewan Serbaguna Putatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun Wan Azizah berkata persepsi bahawa Malaysia berada dalam keadaan selamat daripada sebarang bencana alam yang teruk (terutamanya bencana berkaitan gempa bumi) adalah tidak lagi tepat.

Sejak kebelakangan ini katanya, negara makin terdedah kepada bencana-bencana alam berkaitan cuaca yang disifatkan oleh para saintis sebagai bukti natijah akibat perubahan iklim dunia.

Menurut beliau pada tahun lalu sahaja, sebanyak 59 kejadian bencana telah direkodkan berlaku di negara ini melibatkan 26 kejadian bencana ribut, banjir (23) dan 10 kejadian kebakaran dengan jumlah mangsa seramai 39,382 orang.

Katanya daripada jumlah itu, sejumlah tujuh kejadian bencana banjir dan lima kebakaran telah berlaku di Sabah dengan jumlah mangsa seramai 1,445 orang.

“Selain kejadian bencana itu saya juga dimaklumkan bahawa sebanyak enam gempa bumi berskala 3.1 hingga 5.2 skala richter telah direkodkan berlaku di Malaysia yang mana lima daripadanya berlaku di Sabah manakala satu berlaku di Miri, Sarawak.

“Terbaharu, saya mengambil maklum kejadian banjir yang berlaku pada 25 hingga 29 Januari 2019 lalu di empat daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Sipitang, Pitas dan dua daerah Kecil iaitu Matunggong dan Paitan telah terjejas akibat banjir.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri Sabah yang mampu mengendalikan sebaiknya 2,981 orang mangsa daripada 857 buah keluarga yang ditempatkan di 20 buah pusat pemindahan sepanjang tempoh itu,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan amat peka dan bersimpati di atas kemusnahan dan kerosakan yang terjadi akibat bencana yang berlaku terutama kepada mangsa yang terlibat. – SabahNewsToday