Pilih Bahasa

Bermain bola di padang golf – Footgolf

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bermain bola di padang golf. Kedengaran pelik tapi itulah jenis sukan yang dikenali sebagai ‘footgolf.

Buat pertama kalinya, sukan footgolf diperkenalkan di Sabah dengan Sutera Harbour Golf And Country Club di Kota Kinabalu menjadi perintisnya.

Umesh Rajan dari New Sabah Times membuat tendangan untuk melepasi bunker atau perangkap pasir. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Bagi merasai pengalaman sukan ini, seramai lima wartawan daripada media elektronik dan cetak diberi peluang bermain buat pertama kalinya, semalam.

Wartawan terdiri daripada Junaidi Ladjana dari Sabah News Today (SNT); Willie Jude Junaidi (Astro Arena); Edmund Samunting (NSTP), Lester J Bingkasan (The Borneo Post) dan Umesh Rajan (New Sabah Times) merasai pengalaman bermain bola di padang golf.

Wartawan ini bersedia memasukkan bola ke dalam lubang no. 6. Gambar SNT

Mulanya sukan ini kelihatan mudah kerana sudah biasa menyepak bola tetapi untuk memasukkannya ke dalam lubang pada jarak 120 meter mahupun 30 meter memerlukan teknik seperti bermain golf.

Malah pemain sepatutnya mengambil masa 45 minit untuk sembilan lubang namun terpaksa menghabiskan masa hampir 2 jam untuk menamatkan sukan berkenaan.

Wartawan Astro Arena, Willie Jude Junaidi cuba mengeluarkan bola dari perangkap pasir. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Untuk 9 lubang, jumlah tendangan par ialah 36 dan seperti sistem pemarkahan sukan golf, pemain yang membuat jumlah tendangan terendah adalah pemenang.

Pengurus Besar Sutera Harbour Golf and Country Club, Rick Blackie berkata idea untuk membawa sukan itu ke negeri di bawah bayu mula timbul selepas rakannya, Jason Winter, yang juga pengasas footgolf di negara ini memberi cadangan kepada beliau supaya turut memperkenalkan sukan berkenaan di Sabah.

“Antara tujuan sukan footgolf itu diperkenalkan di Sutera Harbour Golf and Country Club adalah untuk memberi kelainan dan pilihan kepada ahli kelab di situ daripada hanya sekadar bermain golf.

“Di samping itu juga, saya berharap para peminat sukan bola sepak atau futsal di negeri itu akan datang untuk merasai sendiri cabaran bermain bola di atas padang golf dengan beberapa peraturan baharu termasuk sistem pemarkahan seperti golf,” katanya dalam sidang media, semalam.

Rick Blackie. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Rick berkata, pihaknya mungkin merancang untuk mengadakan kejohanan liga footgolf di masa akan datang, seperti mana yang dibuat negara-negara luar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Ya memang kami bercadang untuk itu (liga footgolf) dan harapan kami apabila beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini, ia semakin mendapat sambutan dan bolehlah kita menganjurkan liga.

“Buat masa ini, sukan berkenaan hanya dijalankan secara sembilan lubang namun ianya mungkin akan diperbesarkan kepada 18 lubang pada masa akan datang selain menyediakan kemudahan lampu limpah bagi membolehkan liga footgolf yang dirancang nanti dimainkan pada waktu malam,” katanya.

Para ahli media yang mendapat peluang mencuba Footgolf. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Tambah Rick, footgolf sebenarnya satu sukan yang sudah agak popular di negara-negara luar khususnya di Amerika dan Eropah, malah piala dunia untuk sukan itu turut diadakan.

“Sedihnya ada orang menganggap sukan golf dianggap sebagai permainan orang tua dan bola sepak adalah permainan paling popular di dunia, oleh sebab itu, kami gabungkan dua sukan ini, dan harap ia akan menjadi kegemaran orang muda.

“Antara tujuannya juga kami harap sukan ini menjadi satu riadah untuk keluarga, sambil mereka bermain footgolf, anak-anak mereka boleh berjalan serta berseronok bersama,” katanya.-SabahNewsToday