Pilih Bahasa

Bernas laksana CSR di Kampung Salimandut Kota Marudu, bantu penduduk pedalaman

Oleh Junaidi Ladjana

Kakitangan Bernas yang menjayakan program Kenduri Sekampung di Kampung Salimandut Kota Marudu. – Gambar SNT/Ihsan Bernas

KOTA MARUDU: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi Beras Corporation Sdn Bhd (BCSB) telah mengadakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi sumbangan kepada lebih 100 warga Kampung Salimandut, di sini, semalam. 

Program ‘Kenduri Sekampung’ itu turut menyaksikan lebih RM40,000 diperuntukkan bagi membaik pulih surau serta sumbangan termasuk pemberian wang zakat kepada 50 keluarga asnaf dan sumbangan kotak makanan kepada lebih 100 ketua keluarga di kampung berkenaan.

Jasnih (kanan) memberi sumbangan kotak makanan kepada penerima sempena program Kenduri Sekampung di Kampung Salimandut Kota Marudu.

Ketua Jabatan Operasi Malaysia Timur (Sabah) BCSB, Jasnih Daya berkata CSR yang diadakan itu adalah susulan bantuan peruntukan RM100,000 untuk pembangunan semula Masjid Al-Hidayah Kampung Takulung, Kota Belud dan Surau Al Hidayah Kampung Salimandut, di sini.

“Selaku ‘single gatekeeper’ industri padi dan beras negara, Bernas terus berbakti dan memberi sumbangan kepada golongan memerlukan menerusi program CSR-Ikhlas komuniti

“Program kali ini juga adalah anjuran bersama kita dengan Jawatankuasa Surau Al Hidayah melibatkan 30 kakitangan Bernas dan BCSB dari Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian program berkenaan.

Kakitangan Bernas bersama penduduk kampung bertungkus lumus menyediakan makanan pada program CSR syarikat itu. – Gambar SNT/Ihsan Bernas

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Ahmad Syakir berkata program seperti itu antara pendekatan syarikat untuk bersama dengan komuniti khususnya di Malaysia Timur.

Katanya, program sedemikian juga disifatkan sebagai tanda terima kasih Bernas kepada orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada syarikat berkenaan sejak ianya mula beroperasi.

Sebahagian penduduk Kampung Salimandut yang hadir pada program Kenduri Sekampung di Kampung Salimandut, Kota Marudu. – Gambar SNT/Ihsan Bernas

Terdahulu, pengerusi Surau Al Hidayah, Julison Jalibat berkata beliau bersyukur dengan sumbangan yang diberikan Bernas sehingga menjadikan surau di kampung itu bertambah baik.

“Pelbagai fasiliti dan kemudahan surau dibaik pulih tahun lalu, keadaan surau di kampung ini bertambah baik, malah memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan ibadah,” katanya. – SabahNewsToday