Pilih Bahasa

Bersatu akur beri sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Warisan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Isnin (tengah) berbual dengan Adun Apas, datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Adun Usukan, Japlin Akim di Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar fail SNT

KOTA KINABALU: Seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berpendapat mereka tidak perlu berasa janggal hanya kerana kini berada dalam blok kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Kehadiran mereka dilihat semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di sini hari ini.

Isnin Aliasnih. – Gambar fail SNT

Ketika ditemui pemberita, Adun Klias, Datuk Isnin Aliasnih berkata mereka tidak harus berasa kekok hanya disebabkan telah menyertai Bersatu dan akan menyokong kerajaan hari ini.

“Hari ini persidangan pertama dan bersejarah bagi Bersatu (di Sabah) apabila buat pertama kali kami sebagai wakil rakyat yang dipilih dan diberikan amanah oleh rakyat berada di Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Harapan kami supaya suara kita didengar dan sebarang permasalahan rakyat akan kita bawa kepada kerajaan untuk dibantu,” katanya.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah merangkap Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob (dua kanan) bersalaman dengan Adun Sulaman merangkap Ketua Penyelaras PPBM Sabah Datuk Hajiji Noor (kiri) semasa Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-15 bermula. – Gambar SNT/Ihsan Pejabat M-Pi

Ditanya perubahan dirasainya semasa menjadi pembangkang untuk seketika kemudian beralih kepada kerajaan, Isinin berkata perkara itu biasa dalam dunia politik.

Jelas beliau lagi mereka bukan mahu melawan atau berebut kuasa dengan mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu suara mereka yang mewakili rakyat didengar dan diambil tindakan oleh kerajaan.

“Politik memang begitu, esok kita tidak tahu apa yang akan berlaku… kalau mereka tahu apa yang berlaku ramai yang tidak mahu jadi ahli politi.

“Ego kita itu harus dibuang kalau kita memikirkan rakyat dibelakang kita. Pada saya soal rasa malu bukan isu kerana hasrat kita mahukan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – SabahNewsToday