Pilih Bahasa

Bersatu bertapak dengan rasmi di Sabah, bukan untuk gulingkan Kerajaan negeri pimpinan Warisan

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi bertapak di Sabah hari ini.

Adun Sulaman yang juga bekas Ketua Umno Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dinamakan sebagai Ketua Penyelaras PPBM Sabah.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan Borang Kebenaran Penubuhan Penaja Bahagian kepada Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ini diumumkan oleh Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyempurnakan majlis perasmian di International Technology & Commercial Centre (ITCC) di sini.

Dihadiri hampir 30,000 penyokong, majlis  menyaksikan enam wakil rakyat bebas yang dahulunya ahli Umno dan seorang bekas ahli Upko menerima kad keahlian daripada Tun Mahathir.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaik tiba di Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mereka terdiri daripada Adun Membakut Datuk Ariffin Arif, Datuk Ghulam Khan Haidar Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Isnin Aliasneh (Klias), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) dan Matbali Musa (Lumadan) dan Datuk Bobbey Suan (Nabawan).

Bulan lalu Hajiji sendiri bersama Adun Karanaan Datuk Masidi Manjun, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun, Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri, Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris dan dua orang Senator Datuk John Ambrose serta Datuk Abdul Ghani Yassin mendapat kad keahlian mereka di Putrajaya.

Sebahagian Tetamu yang menghadiri Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Tujuan kita bertapak di Sabah bukan untuk gulingkan Kerajaan negeri Sabah (pimpinan Warisan) tetapi membantu memperkuatkan lagi,” kata Dr Mahathir.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas majlis itu, beliau turut menolak kemungkinan Bersatu akan menuntut jawatan dalam kabinet negeri Sabah.

Sebahagian perwakilan yang hadir di Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Walaupun jumlah kita nampak ramai tetapi kita tidak akan memaksa Kerajaan negeri… Kita akan menyokong Kerajaan Negeri pimpinan Warisan,” katanya.

Menurutnya, walaupun Warisan bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan namun atas penghargaan, pemimpin-pemimpin Warisan juga diberi jawatan dalam kabinet Persekutuan.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Kita tiada masalah untuk bekerjasama,” katanya.

Mengenai ketiadaan pemimpin-pemimpin Parti Warisan Sabah dalam majlis tersebut, Tun Mahathir berkata sejurus tiba di Lapangan Terbang tadi beliau bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami berbincang tentang beberapa isu dan bagaimana membangunkan Sabah,” ujar beliau.

Tun Mahathir juga melahirkan perasaan gembira dengan sambutan majlis pelancaran PPBM Sabah yang menurutnya merupakan yang terbesar pernah beliau rasmikan.

Sebahagian perwakilan yang hadir di Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ditanya jumlah ahli Umno yang telah menyertai Bersatu, beliau berkata mereka yang ingin menyertai Bersatu haruslah keluar daripada parti menjadi bebas dan hanya setelah beberapa waktu boleh memohon.

“Kita akan periksa dan sekiranya layak maka kita akan terima,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Tun Mahathir berkata Bersatu mengambil masa untuk melebarkan sayap ke Sabah atas beberapa faktor.

Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor ketika berucap di Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Dan sekarang kita rasakan masanya telah tiba untuk bertapak di Sabah bagi memenuhi permintaan begitu banyak daripada orang-orang Sabah,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa banyak rombongan dari Sabah yang datang bertemu dengan beliau untuk berbincang serta menyatakan keinginan dan keikhlasan mereka untuk menyertai PPBM.

“Sememangnya sudah lama orang-orang Sabah ingin Bersatu dalam Bersatu,” katanya.

Dari kiri, Datuk Amir Kahar, Tan Sri Chong Kah Kiat, Tan Sri Kasitah Gadam dan Tan Sri Harris Salleh. Gambar SNT/sumber media sosial

Sementara itu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dengan kemasukan pemimpin-pemimpin Sabah ini dalam Bersatu akan membantu membangunkan negara.

Turut hadir sebagai jemputan khas ialah wakil rakyat dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Upko dan dua orang bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Chong Kah Kiat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut serta dalam majlis. Beliau tiba dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima Borang Permohonan Keahlian BERSATU Sabah daripada Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah di Penampang, Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Terdahulu, Tun Mahathir menerima borang permohonan keahlian sebanyak 120,076 yang diserahkan oleh Hajiji.-SabahNewsToday