Pilih Bahasa

BERSATU, JANGAN LAYAN KEHENDAK BEKAS PEMIMPIN UMNO SABAH: WIRA WARISAN

KOTA KINABALU: Wira Warisan meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak melayan kehendak bekas pemimpin Umno  yang mahukan Bersatu datang ke Sabah.

Ketua Wira Warisan bahagian Kota Belud  Datu Abdul Hafiz Datu Abdullah berkata pimpinan Bersatu seharusnya menghormati keputusan rakyat Sabah menolak parti Umno di negeri ini semasa Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Datu Abdul Hafiz Datu Abdullah. Gambar Fail SNT

“Kepada pimpinan Bersatu, percayalah bahawa mereka (bekas pemimpin Umno Sabah) hanya bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat Sabah khususnya dan parti gabungan kerajaan pada hari ini berdasarkan konsep “Divide and Rule” iaitu konsep sama diamalkan oleh penjajah suatu ketika dahulu,” katanya.

Bagi Abdul Hafiz, Datuk Seri Hajiji Noor serta rakan-rakannya membuat permintaan tersebut hanya demi kepentingan peribadi mereka.

“Ianya cuma bertujuan melunaskan dendam kesumat ke atas kekalahan mereka yang amat memalukan pada PRU14 lepas di tangan rakyat melalui saluran demokrasi,” katanya.

Abdul Hafiz selaku Pengarah Biro Teknologi Maklumat Wira Warisan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hajiji bahawa tidak lama lagi Bersatu bakal bertapak di Sabah.

“Datuk Seri Hajiji Noor sudah lupakah bahawa majoriti rakyat Sabah telah bersuara dan menolak mereka melalui suara demokrasi diterjemahkan dalam peti undi pada PRU14 lepas?

“Saya ingin menasihatkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor agar beliau mengukur baju biarlah di badan sendiri,” katanya.

Oleh itu, Abdul Hafiz berkata rakan pimpinan dari Bersatu boleh melihat rakyat Sabah telahpun bersuara semasa PRU14 yang lepas.

“Aspirasi rakyat adalah untuk melihat negeri Sabah ini ditadbir urus oleh parti tempatan sendiri.

“Dan ini telah pun menjadi kenyataan pada hari ini. Kestabilan dan kelicinan sistem pentadbiran pada hari ini jauh lebih baik berbanding zaman Umno BN sebelum ini dalam konteks ketelusan dan menjaga amanah rakyat,” katanya.

Sementara itu Ketua Wira Warisan Kimanis, Abdul Kadir Jalani menyeru kepada rakan dalam Bersatu agar tidak membiarkan parti itu diperalatkan oleh bekas pemimpin Umno yang sejak dahulu telah melabelkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai punca masalah di Sabah.

Abdul Kadir Jalani. Gambar Fail SNT

“Amat jelas niat sebenar bekas para pemimpin Umno ini tidak ikhlas melainkan hanya untuk kepentingan peribadi mereka.

“Tun Mahathir selaku ahli politik berpengalaman pasti boleh membaca niat sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Kadir mempersoalkan niat bekas pemimpin Umno ini mahukan Bersatu bertapak di Sabah namun pada masa sama menzahirkan akan membuka parti tempatan.

Beliau yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Membakut berkata kerajaan negeri pimpinan Warisan adalah sebuah kerajaan yang mendengar suara generasi muda.

Ini terbukti dengan pelantikan golongan muda dalam pentadbiran kerajaan sekarang, katanya.

Maka itu, Abdul Kadir berkata sepatutnya bekas pemimpin terdahulu khususnya dari Umno memikirkan halatuju baharu dalam menakluk dan memenangi hati rakyat ini dan bukan membawa masuk Bersatu ke Sabah.-SabahNewsToday