Pilih Bahasa

Bersatu pertahan perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan-Mohd Radzi

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Perjuangan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan antara matlamat utama perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian semasa sesi perbincangan khas bersama anggota Parlimen dan Senator Dewan Negara daripada parti itu hari ini,” kata Ketua Penerangan Bersatu Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin. Gambar Bernama

Tun menjelaskan perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja-raja Melayu antara matlamat perjuangan parti,” katanya.

Dr Mahathir turut menekankan segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh Pakatan Harapan semenjak menerajui negara adalah demi kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat, termasuklah memelihara kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta hak-hak yang sah untuk semua kaum di negara ini, katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata semua anggota Parlimen Bersatu sebulat suara menyatakan sokongan teguh kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia.

–BERNAMA