Pilih Bahasa

Bersatu Sabah sasar 300,000 ahli tahun depan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan menjadi sebuah entiti parti yang mempunyai kuasa tersendiri di peringkat bahagian dan negeri, berpandukan kepada perlembagaan dan undang-undang parti yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Hajiji Noor berkata parti itu semakin diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat dan pertambahan bilangan ahli dijangka akan meningkat dengan lebih banyak dalam tempoh masa setahun akan datang.

Japlin (dua dari kiri) bersama Hajiji (dua dari kanan) dan para tetamu lain yang hadir ke rumah terbuka beliau di Taman BDC Kolombong sempena Aidilfitri. – Gambar SNT/Ihsan Dun Usukan

“Bersatu mulai diterima baik oleh masyarakat pelbagai sudut dan latar belakang termasuk para pemimpin-pemimpin belia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita telah kenalpasti terdapat 127,000 permohonan yang sedang diproses dan ada lagi 100,000 borang yang mana kita yakin dalam mampu mencapai bilangan ahli hampir 300,000 bagi tempoh masa setahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Syawal di kediaman Datuk Japlin Akim disini kelmarin.

Hajiji berkata pihaknya amat mengalu-alukan penglibatan semua pihak yang ingin dan bersedia menerima perjuangan bersama parti itu.

“Jangan bimbang, kita tidak akan tahan sesiapa daripada menyertai parti ini dan kita akan memberi peluang kepada semua secara sama sata, khasnya golongan belia,” tambahnya lagi.

Menurut Hajiji, Bersatu akan menumpukan kepada bahagian masing-masing dan akan memastikan pengurusan parti secara sistematik demi kelangsungan perjuangan parti yang lancar.

Mengenai pemilihan perwakilan parti, Hajiji memberitahu bahawa Bersatu Sabah akan menyerahkan kepada keputusan yang diberikan oleh pucuk pimpinan dan akan melaksanakan segala apa yang telah diputuskan di peringkat tertinggi.

Dalam pada itu, Hajiji turut berharap agar Majlis Kepimpinan Bersatu Pusat akan membuat keputusan terbaik khususnya dalam pemilihan untuk menghantar wakil bagi Mesyuarat Perwakilan Agung Bersatu yang dijangka akan diadakan penghujung tahun ini.

“Kini kita fokuskan kepada bahagian masing-masing termasuk sayap-sayap armada dan srikandi dan apabila organisasi di bahagian kita tersusun rapi maka saya yakin dalam masa terdekat, pastinya Bersatu Pusat mempu membuat pemilihan perwakilan bagi mesyuarat yang akan datang.

“Berkenaan isu yang tular di media sosial tentang perlantikan sendiri, saya telah berjumpa dengan semua kumpulan-kumpulan ini dan mereka amat memberi kerjasama yang baik kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya akan mengikut keputusan kepimpinan bagi menentukan siapa pemimpin yang bakal menerajui pimpinan Bersatu Sabah. – SabahNewsToday