Pilih Bahasa

Bersih 2.0 Sabah mahu pastikan proses PRK Sandakan bebas salah guna kuasa

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Bersih 2.0 Sabah akan melancarkan kempen Pemantau Pilihan Raya bagi memantau perjalanan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan bermula esok.

Naib Pengerusinya, Beverly Joeman berkata wakil Bersih 2.20 Sabah telah dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjadi sebahagian daripada pemantau bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya berkenaan.

Beverly (kanan) dan Asraf Sharafi menunjukkan papan pemantau yang memaparkan lima kesalahan yang perlu dielakkan oleh parti dan calon bertanding pada PRK Sandakan. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Untuk PRK kali ini kami akan memantau parti-parti politik, calon-calon serta kumpulan atau individu yang terlibat dengan kempen pilihan raya daripada melakukan kesalahan pilihan raya.

“Sekiranya ada pihak melakukan kesalahan kami akan melaporkan kepada pihak yang berkuasa dan SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beverly berkata pihaknya akan menghantar seramai tujuh orang pemantau untuk PRK Sandakan kali ini termasuk beliau dan Koordinatornya, Asraf Sharafi Mohd Azhar.

Beliau menjelaskan tugas itu akan memfokuskan kepada beberapa kesalahan utama yang biasa dilakukan oleh parti politik dan calon-calon seperti rasuah dan beli undi, jamuan dan pemberian haduah, salah guna aset kerajaan, pengaruh tidak wajar kerajaan, intimidasi, keganasan dan gangguan serta berkempen hari pengundian.

Dalam masa sama, Beverly turut mengingatkan semua jentera kempen parti politik dan calon yang akan bertanding agar mematuhi etika dalam Akta Kesalahan PIlihan Raya 1954 sebelum memulakan kempen masing-masing.

“Kami juga ingin mengingatkan kepada parti-parti politik agar tidak menyalahgunakan jentera kerajaan dan melakukan pengaruh tidak wajar seperti semasa berkempen.

“Biarlah Sabah menjadi contoh kepada semua negeri di Malaysia dengan tidak melakukan kesalahan pilihan raya dan berkempen dengan bersih, bebas dan adil kerana rakyat Sabah perlu memastikan akauntalibiliti ahli politik semasa berkempen,” katanya.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai pelanggaran pilihan raya, hak asasi atau kempen perkauman yang melampau, aduan boleh dibuat memalui laman web aduan.pemantau.org atau menghubungi 0145724007 dan emel [email protected].-SabahNewsToday