Pilih Bahasa

Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dibuka bermula 26 Mac

Oleh Alfred Petrus

Yusof (tengah) ketika sidang media pengumuman Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) akan dibuka bermula esok (26 Mac) dan mereka yang berkelayakan khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh mengemukakan permohonan.

Biasiswa tersebut khas untuk individu tamat SPM, STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma, Matrikulasi dan Asasi dan baru menerima keputusan peperiksaan akhir dan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata penawaran BKNS terbabit adalah berdasarkan kursus-kursus ditetapkan dan yang mendapat permintaan industri di dalam negeri, namun ia perlu mengikut syarat-syarat kelayakan melalui empat kategori.

“Kita ada empat kategori penawaran BKNS iaitu skim penawaran kepada seramai 148 pelajar cemerlang SPM yang memperoleh 10A seluruh negeri dan 61 pelajar STPM dengan Purat Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 sebagai keutamaan mengikut kecenderungan mereka.

“Kategori kedua adalah bagi pelajar SPM yang mendapat keputusan 7A ke atas dan STPM dengan PNGK 3.33 ke atas untuk melanjutkan pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda pertama.

“Seterusnya, bagi kategori mengikut keperluan industri, mereka juga boleh memohon dengan pertimbangan mengikut kursus-kursus yang diperlukan industri masa kini,” katanya dalam sidang media sempena Pengumuman Permohonan BKNS 2019 di Wisma Bandaraya di sini hari ini.

Katanya bagi permohonan Diploma di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPT) Awam dan Swasta adalah meliputi kursus Aktuari Sains, Pertanian, Juru Ukur, Sains Tulen, Kejuruteraan, Seni Bina, Kesihatan dan Perusahaan Ternak, Teknologi Maklumat, Pengurusan Hartanah, Ukur Bahan dan Perakaunan.

Permohonan ke Ijazah Sarjana Muda IPTA/S merangkumi Aktuari Sains, Perakaunan, Akuakultur, Pergigian, Ekonomi, Perhutanan, Farmasi, Perikanan, Kejuruteraan, Pertanian, Kesihatan dan Perusahaan Ternak, Perubatan, Keusahawanan, Perubatan Veterinar, Komunikasi, Psikologi, Juru Ukur, Sains Alam Sekitar, Muzik Sains, Biologi Marin, Pelancongan dan Hospitaliti, Sains Bioteknologi, Pendidikan, Sains dan Teknologi Makanan, Pengajian Islam, Sains Komputer, Pengangkutan dan Logistik, Seni Bina (Architecture), Pengurusan Ladang, Teknologi Maklumat, Pengurusan Hartanah, Ukur Bahan, Pentadbiran Perniagaan dan Undang-Undang.

Tambah Dr Yusof lagi, BKNS juga membuka permohonan biasiswa terbabit untuk para pelajar golongan miskin tegar agar mereka mendapat peluang melanjutkan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan tempatkan mereka di IPTA atau IPTS yang mana institut swasta ini mesti mempunyai jalinan persefahaman dengan industri.

“Mereka yang dilatih ini akan ditempatkan di industri dan keputusan pelajar di bawah miskin tegar ini tidak menjadi kepentingan kerana kerajaan berusaha menempatkan mereka agar membolehkan mereka mendapat pekerjaan sejurus menamatkan pengajian,” jelasnya.

Sementara itu, Yusof menegaskan BKNS tersebut juga terbuka kepada pelajar Diploma yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan memperolehi keputusan PNGK 3.50, lulusan STAM pula haruslah Jaiyid Jiddan manakala lepasan Matrikulasi dan Asasi sekurang-kurangnya PNGK 3.50.

“Permohonan untuk memasuki kursus Perubatan, Pergigian dan Farmasi, perlu memperolehi sekurang-kurangnya PNGK 3.8 di peringkat STPM, Diploma atau Matrikulasi dan tawaran BKNS hanya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negeri sahaja.

“Kelayakan permohonan Diploma, pemohon hendaklah tidak melebihi 20 tahun manakala bagi permohonan ke Ijazah Sarjana Muda, pemohon haruslah tidak melebih umur 25 tahun. Permohonan tersebut boleh dibuat melalui atas talian di laman sesawang  www.biasiswa.sabah.gov.my dan permohonan dibuka sehingga 25 April ini,“ katanya.

Sementara itu, beliau menambah pemohon yang sedang menuntut di IPT perlu memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.50 keputusan semasa untuk meneruskan pengajian ke peringkat Diploma dan Sarjana Muda. – SabahNewsToday