Pilih Bahasa

Bidaan nombor kenderaan siri SYD secara online bermula esok

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula membuka bidaan secara atas talian (online) buat pertama kalinya bagi nombor kenderaan siri SYD bermula esok.

Pengarah JPJ, Sadim Abdul berkata bidaan online berkenaan akan berlangsung selama lima hari dengan mengetengahkan bidaan bagi Nombor Bernilai Utama (Golden Number), Nombor Menarik (dua hingga lima digit), Nombor Popular dan Nombor Semasa.

Sadim (tengah) dan Mohd Rusdi (dua kiri) menunjukkan antara contoh nombor kenderaan yang bakal dibida bermula esok. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Bagi Nombor Bernilai, harga minimum yang ditetapkan adalah RM20,000 dan harga minimum nombor menarik pula bagi dua, tiga serta empat digit, masing-masing berharga RM3,000, RM2,500 dan RM2,000.

“Manakala, bagi nombor popular ditetapkan dengan harga minimum iaitu RM800. Bagi nombor biasa, harga ditetapkan adalah RM300.

“Kesemua kategori nombor ini akan dikenakan kadar kenaikan bidaan minimum sebanyak lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Sabah, hari ini.

Tambahnya bidaan boleh mula dilakukan pada esok (15 Ogos) pukul 12.00 tengah malam sehingga 19 Ogos pukul 11.59 malam.

Jelasnya bidaan juga boleh dibuat melalui laman sesawang khas atau aplikasi yang boleh dimuat turun iaitu JPJeBid.

Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Perlesenan Kenderaan JPJ Malaysia, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata semua pembida harus membuat pendaftaran secara online terlebih dahulu sebelum membuat bidaan.

Katanya bidaan boleh dibayar hanya menggunakan Kad Kredit dan Kad Debit tempatan sahaja dan boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran Fi Perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida.

“Namun, setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan dan bagi perniagaan atau syarikat adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan.

“Ia juga terbuka kepada warganegara dan penduduk tetap yang berumur 18 tahun dan ke atas serta syarikat berdaftar.

“Usaha ini adalah bagi menggantikan cara konvensional JPJ sebelum ini dan ia lebih bersifat telus kerana pembida boleh mengetahui kedudukan mereka secara terus tanpa unsur campur tangan manusia,” jelasnya.

Tambahnya bagi nombor yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarik surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

Menurutnya bagi orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ berdekatan kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC). -SabahNewsToday