Pilih Bahasa

BILANGAN KERUSI PARLIMEN SABAH DAN SARAWAK HARUS DITAMBAH – PEMUDA UPKO

KOTA KINABALU: Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menjalankan kajian semula persempadanan kawasan pilihanraya Sabah dan Sarawak bagi menambah bilangan kerusi parlimen di kedua negeri itu.

Ketua Pemuda Upko Nasional, Felix Joseph Saang berkata pergerakan itu mengakui usaha murni Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Felix Joseph Saang. Gambar Fail SNT

Felix berkata demikian sewaktu ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif Exco Pemuda UPKO Pusat baru-baru ini.

Beliau berkata pengumuman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong bahawa Kabinet persekutuan bersetuju untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan Sarawak selama ini.

Dengan pindaan tersebut, status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia akan dikembalikan, seterusnya membuka jalan bagi isu lain dalam MA63 untuk diselesaikan, kata Felix

Beliau menjelaskan bahawa Pemuda Upko bersedia memainkan peranan dan melakukan apa sahaja demi menyokong agenda MA63.

“Saya juga percaya bahawa royalti minyak merupakan isu paling kritikal dalam melaksanakan sepenuhnya MA63.

“Malah kesemua isu MA63 adalah sama penting kerana ia adalah apa yang telah diperjuangkan selama ini oleh Upko khasnya dan rakyat Sabah amnya,” katanya.

“Sememangnya kita faham bahawa kesemua ini harus melalui beberapa proses sebelum ianya dapat direalisasikan,” katanya.

Namun, menurut beliau salah satu aspek MA63 yang boleh dilaksanakan dengan segera adalah persempadanan semula kawasan parlimen di Sabah dan Sarawak.

Felix yang juga adalah Ketua Upko Bahagian Beluran berkata semasa mesyuarat agung tritahunan Upko tahun lalu, satu usul telah diluluskan iaitu menggesa SPR menjalankan persempadanan semula.

“Malah, saya sendiri yang membentangkan usul tersebut kerana kita sedar dengan adanya lebih ramai wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen maka masyarakat di kedua negeri ini  akan mendapat lebih banyak pendedahan,” katanya.

Usul yang dibentangkan oleh beliau turut menggesa agar jumlah kerusi parlimen bagi kedua-dua negeri Malaysia Timur tidak boleh kurang daripada dua pertiga jumlah keseluruhan kerusi.

Sebagaimana yang dipersetujui dalam MA63, Malaya, Sabah dan Sarawak masing-masing tidak seharusnya mempunyai memegang lebih dari dua pertiga jumlah kerusi parlimen.

Apatah lagi sekarang, dengan pengembalian status sebagai rakan kongsi, ketiga-tiga entiti Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sepatutnya mendapat bilangan wakil parlimen sama rata.

Menurut Felix lagi, Upko telahpun menghantar satu memorandum kepada kerajaan Persekutuan terdahulu meminta keseimbangan wakil dalam Dewan Rakyat.

Beliau berpendapat keseimbangan kerusi parlimen antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak cukup penting memandangkan suara rakyat dari kedua negeri harus didengar terlebih dahulu sebelum apa-apa dasar kerajaan dilaksanakan di seluruh negara.

“Maka itu, kajian bagi persempadanan semula kawasan parlimen harus dituntut bersamaan dengan tuntutan bagi pelaksanaan penuh MA63,” katanya, sambil menambah ia juga selaras dengan seruan Upko bagi perkongsian kuasa yang lebih adil.

Dalam pada itu, Felix turut membawa perhatian Kerajaan Persekutuan kepada isu penambahan 13 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) yang telah diluluskan oleh SPR dan DUN Sabah sendiri.

Kali terakhir persempadanan semula telah diadakan ialah pada tahun 2003 di mana kerusi DUN telah ditambah daripada 48 kepada 60.

Felix percaya masanya telah tiba untuk kerusi DUN Sabah dan Sarawak ditambah melalui proses persempadanan semula.-SabahNewsToday