Pilih Bahasa

Bina Pusat Inovasi Ekonomi Kreatif Sabah bantu usahawan SME

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bakal membina sebuah Pusat Inovasi Ekonomi Kreatif Sabah dalam usaha menghasilkan lebih banyak produk inovasi serta usahawan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata projek berkenaan tercetus selepas melihat module sama digunakan Korea dalam membantu golongan usahawan di negara terbabit.

Madius (duduk tujuh dari kanan) sempena perasmian siri jelajah Platinum Business Awards (PBA) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Madius berkata menerusi usaha itu, Korea mampu menghasilkan lebih 1,000 inovasi dan syarikat baharu.

“Kita menjangkakan pembinaan projek ini akan bermula pada awal tahun hadapan.

“Lokasi pembinaan projek pula terletak di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) namun lokasi spesifik belum diputuskan manakala kos bagi pusat ini kita akan maklumkan kelak.

“Ia juga adalah salah satu usaha kerajaan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 sekaligus membantu usahawan kita menghadapi revolusi ini bukan sahaja pada peringkat nasional dan asia malah dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Platinum Business Awards (PBA) 2019, dekat sini, hari ini.

Madius (empat dari kiri memukul gong sebagai gimik perasmian siri jelajah Platinum Business Awards (PBA) 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Yang turut hadir Pengerusi Penganjur PBA 2019, Alan Tan.

Mempertandingkan 23 kategori utama, tarikh tutup penyertaan kini dilanjutkan sehingga 30 September hadapan manakala penyampaian anugerah dijangkakan pada 10 Januari 2020.

Dalam pada itu, Madius menyatakan pembinaan pusat inovasi itu kelak dilihat mampu meningkatkan mutu produk serta syarikat usahawan tempatan di Sabah.

Beliau berkata usahawan yang memerlukan bantuan boleh datang ke pusat berkenaan untuk mendapatkan pandangan dan bantuan bagi produk masing-masing agar dapat memenuhi kehendak pasaran masa kini.

Sementara itu, Madius berkata pihaknya jua mensasarkan untuk melahirkan kira-kira 100 usahawan kecil dan sederhana (SME) setiap tahun bermalu tahun ini khususnya dalam bidang pengilangan dan pemprosesan.

“Bagaimanapun, mereka mematuhi kriteria ditetapkan termasuklah produk mempunyai nilai inovasi dan berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE),” katanya. -SabahNews Today