Pilih Bahasa

BINA PUSAT KEBUDAYAAN SABAH BAHARU LONJAK INDUSTRI PELANCONGAN SABAH DI KINARUT

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bakal membina sebuah lagi pusat kebudayaan Sabah tahun ini dalam usaha merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

Berkeluasan kira-kira lebih 100 ekar, pusat kebudayaan yang terletak di kawasan KInarut, Papar itu nanti akan memperlihatkan kepelbagaian budaya membabitkan kira-kira 35 etnik dan lebih 200 subetnik terdapat di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sempena Perhimpunan Perdana Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri. Gambar SNT/ Mhd Nazllie Zainul

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew berkata setakat ini hanya terdapat sebuah pusat kebudayaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang namun lebih fokus kepada tradisi dan budaya untuk masyarakat Kadazandusun.

Christina berkata pusat kebudayaan itu kelak bakal menjadi salah satu ‘hotspot’ terbaharu tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew (tujuh dari kiri) bergambar dengan semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sempena Perhimpunan Perdana Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mhd Nazllie Zainul

“Sabah memiliki pelbagai etnik dan kebudayaan yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan. Dengan adanya pusat kebudayaan ini, ia juga ibarat pusat sehenti bagi kebudayaan yang ada di negeri ini kerana pengunjung boleh melihat segala tradisi berkaitan etnik Sabah dalam satu lokasi yang dikunjungi mereka.

“Selain itu, pusat kebudayaan terbabit turut akan dilengkapi sebuah dewan besar yang dianggarkan boleh memuatkan lebih 5,000 orang pengunjung untuk sesebuah majlis.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew ketika ditemubual media sempena Perhimpunan Perdana Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mhd Nazllie Zainul

“Secara keseluruhannya, ia bukan sahaja dijadikan destinasi pelancongan tetapi lokasi penganjuran aktiviti termasuklah konsert, majlis perkahwinan dan acara rasmi kerajaan,” katanya ketika sidang media selepas menyempurkan Perhimpunan Perdana Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, dekat sini, hari ini.

Turut disampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 54 kakitangan jabatan-jabatan di bawah kementerian.

Sementara itu, Christina berkata pihaknya juga merancang untuk menaiktaraf serta membesarkan kawasan tugu peringatan perang yang terletak di Petagas.

Beliau berkata naiktaraf itu termasuklah menambah kemudahan infrastruktur sedia ada untuk keselesaan pelancong dan ahli keluarga mangsa peperangan berkenaan.

“Kita mahu tugu ini juga menjadi antara lokasi wajib dikunjungi pelancong tempat mahupun antarabangsa.

“Proses naiktaraf ini akan dilaksanakan Muzium Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam tahun ini sekiranya perancangan berjalan lancar,” katanya. –SabahNews Today