Pilih Bahasa

BKD Pekan Taginambur bernilai RM120,000 bakal dibina

KOTA BELUD: Pembinaan fasa pertama dua Bengkel Keusahawanan Desa (PKD) bernilai RM120,000 di Pekan Taginambur di sini, dibawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan dimulakan dalam masa terdekat.

Kerja-kerja penyediaan dan meratakan tapak kawasan seluas 40 x 80 meter itu telah siap pada tahun lalu.

Fredian (tengah) menyerahkan waran peruntukan membina bangunan keusahawanan desa di Pekan Taginambur kepada Diyannah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Pembangunan Pusat Keusahawanan Desa ini adalah antara inisiatif bekas menterinya, Datuk Ewon Benedick dan terkandung dalam buku Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu berkata, apabila bangunan itu siap kelak ia akan menempatkan usahawan Kadamaian yang mengusahakan beras organik dan kraftangan beridentitikan Kota Belud.

“Pembinaan bangunan keusahawanan untuk fasa seterusnya di kawasan Pekan Taginambur akan diteruskan selepas bangunan itu siap.

“Saya percaya pengwujudan pusat keusahawanan desa ini akan merancakkan lagi ekonomi di Kadamaian seterusnya meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat,” kata Ewon.

Selain itu, bengkel keusahawanan desa yang telahpun siap di kawasan Kadamaian pada tahun 2018 hingga 2020 di bawah peruntukan KPLB Sabah ialah Bangunan Keusahawanan Desa (Madu Kelulut) Kampung Pinolobuh, BKD Sayap dan BKD (Jahitan Pakaian Tradisional) Kelawat.

Sementara itu Setiausaha Tetap KPLB negeri Fredian Gan berkata pembinaan bangunan keusahawanan desa akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Pada hari ini, kita menyerahkan waran peruntukan membina bangunan keusahawanan desa di Pekan Taginambur kepada Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyannah Abdullah,” katanya. – SabahNewsToday