Pilih Bahasa

‘BLIND DATE’ RUPANYA PENYAMUN

Oleh Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (dua kiri) menunjukkan telefon yang digunakan suspek yang menyamar seorang wanita dari aplikasi sembang WeChat pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Harapan seorang lelaki untuk bertemu buat kali pertama dengan ‘blind date’ yang dikenali melalui aplikasi ‘WeChat’ bertukar ngeri selepas disamun oleh empat orang lelaki sekitar jam 3 pagi, Selasa minggu lepas di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sebelum kejadian mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 25 tahun itu baharu sahaja berkenalan dengan ‘wanita’ terbabit melalui aplikasi sembang ‘WeChat’ dalam tempoh kurang 24 jam.

“Malangnya, mangsa yang sepatutnya berjumpa dengan wanita yang dikenalinya melalui aplikasi ini disamun oleh empat lelaki warga tempatan ketika berada di lokasi pertemuan yang dijanjikan berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini.

“Mangsa telah bertengkar dengan kumpulan lelaki terbabit sehingga berlakunya pergelutan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

“Suspek berjaya melarikan beg milik mangsa yang berisi wang tunai dan kad kredit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.

Wang tunai matawang asing antara barang rampasan kes samun. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Wang tunai mangsa yang dilarikan suspek bernilai RM1,000 termasuk dalam bentuk matawang USD.

Menurut Habibi, sebaik laporan polis dibuat oleh mangsa, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah menjalankan risikan dan telah berjaya memberkas kesemua suspek di sekitar bandaraya.

“Kesemua suspek yang tidak bekerja itu berumur diantara 21 hingga 27 tahun mengaku melakukan jenayah berkenaan dan kini sedang ditahan reman sehingga Jumaat ini.

“Pihak polis juga berjaya merampas semula wang tunai dan barang kemas milik mangsa,” katanya.

Siasatan mendapati suspek menggunakan gambar seorang wanita yang tidak dikenali sebagai penyamaran bagi menarik perhatian mangsa untuk berkenalan dan seterusnya bersembang melalui aplikasi itu.

Tambah Habibi, suspek juga menggunakan ayat manis untuk mengajak mangsa berjumpa di suatu lokasi pada masa-masa tertentu.

Menurut beliau semestinya aktiviti jenayah samun seperti ini dilakukan pada waktu malam dan di lokasi yang mudah untuk suspek menjadikan mangsa sebagai sasaran.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk jangan mudah percaya dengan individu yang dikenali melalui aplikasi seperti ini kerana ia pasti akan mendatangkan curiga dan kemungkinan jenayah akan berlaku,” tambahnya.

Kesemua tangkapan disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun sehingga mendatangkan kecederaan.

DUA WARGA ASING DIBERKAS DALAM TEMPOH 24 JAM SELEPAS PECAH RUMAH

Sementara itu, dua lelaki warganegara asing berjaya diberkas polis kurang tempoh 24 jam selepas memecah masuk sebuah kediaman di Kampung Sembulan Tengah, pada Isnin minggu lalu.

Menurut Habibi, kejadian itu berlaku sekitar jam 1 pagi selepas mangsa berusia 42 tahun terdengar bunyi dan melakukan pemeriksaan didalam rumahnya.

“Mangsa yang menyedari rumahnya dipecah masuk segera membuat laporan polis.

“Hasil risikan yang dibuat oleh sepasukan anggota polis dari bahagian yang sama telah berjaya memberkas kedua-dua suspek yang tinggal sekitar perkampungan di situ,” katanya.

Tambah Habibi, pihak polis berjaya merampas kesemua barangan kemas dan wang tunai milik mangsa yang bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan itu.

“Kedua-dua suspek juga postif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” jelasnya.  -SabahNewsToday