Pilih Bahasa

‘BLUE HOLE’ BERKEMBAR LAHAD DATU TARIKAN TERBAHARU PENGGEMAR SELAM SKUBA

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Penggemar aktiviti selam skuba dasar laut kini boleh membuat perancangan baharu dengan meneroka keunikan “Blue Hole” atau “Lubang Biru” berkembar yang wujud di Lahad Datu, Sabah.

Terletak di Terumbu Tingkayu yang hanya mengambil masa 30 minit menaiki bot dari Teluk Darvel, Lahad Datu tidak akan menjadi sia-sia kerana ia akan memberi sejuta pengalaman baharu kepada setiap peminat aktiviti dasar laut.

Blur hole berkembar di Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan Taman-Taman Sabah

“Blue Hole” adalah satu kawasan seperti lagun yang biasanya berbentuk bulat tidak sempurna dan memiliki paras kedalaman yang berbeza.

Bagi “Blue Hole” di Terumbu Tingkayu, ia memiliki paras kedalaman sekitar 15 meter atau 45 kaki.

Pegawai Penyelidik Kanan (Marin) dari Taman-Taman Sabah, Nasrulhakim Maidin, sempat menerokai “Blue Hole” berkembar tersebut ketika sedang menjalankan penyelidikan bagi melengkapkan data saintifik berhubung Teluk Darvel, Lahad Datu yang akan diwartakan.

Terumbu karang yang dapat dilihat dalam Blue Hole Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan Taman-Taman Sabah

Katanya, penemuan “Blue Hole” tersebut adalah secara tidak disengajakan dan beliau melihat kedua-dua “Blue Hole” tersebut dipenuhi dengan terumbu karang yang cantik dan sihat.

“Sepanjang saya melakukan aktiviti menyelam dasar laut di Malaysia, ini kali pertama saya melihat Blue Hole yang cantik dan berkembar serta airnya yang kebiru-biruan.

Keadaan terumbu karang yang terdapat dalam Blue Hole Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan Taman-Taman Sabah

“Blue Hole sedalam 15 meter itu dipenuhi dengan terumbu karang. Saya dan rakan peneroka ada juga menemui beberapa bubu yang digunakan nelayan untuk menangkap ikan di kawasan itu, namun ia adalah tinggalan nelayan dahulu dan tidak berfungsi lagi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nasrulhakim berkata, “Blue Hole” di Terumbu Tingkayu serupa dengan lagun atol kerana ia berada di tengah laut dan jauh dari persisir pantai.

Penyelam menunjukkan rasa gembira berada dalam Blue Hole. Gambar SNT/Ihsan Taman-Taman Sabah

“Lagun adalah satu kawasan air yang cetek yang dipisahkan oleh kawasan air yang besar. Ia dipisahkan oleh terumbu pemisah. Terdapat dua jenis lagun iaitu lagun persisiran pantai dan lagun atol.

“Darvel Bay ini perlu dipromosikan sebagai produk pelancongan kerana ia memudahkan pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat sendiri keunikan Blue Hole yang ada di Sabah,” katanya.

Penyelam skuba meneroka Blue Hole Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan Taman-Taman Sabah

Tambahnya, berkemungkinan besar terdapat juga penyelam dasar laut pernah menerokai “Blue Hole” ini namun tidak mengetahui bahawa ia adalah satu tarikan pelancong.

“Ada juga beberapa Blue Hole terdalam di dunia dan menjadi tarikan peminat aktiviti selam skuba seperti di China, Belize,Mexico; dan di Mesir.

“Blue Hole di Sabah ini adalah satu keunikan yang luar biasa ditemui setanding dengan Blue Hole di luar negara. Ia adalah satu ciptaan Tuhan yang begitu cantik.

“Saya berharap, selepas Teluk Darvel ini di wartakan, Blue Hole kita akan menjadi satu tarikan pelancongan,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar kini dalam perancangan untuk mewartakan perairan Teluk Darvel sebagai kawasan perlindungan marin dan destinasi pelancongan penyelidikan.

Pembantu Menteri, Assaffal P. Alian, berkata beliau mahu teluk berkenaan diangkat ke peringkat antarabangsa di samping menjadi destinasi pelancongan terkenal seperti pulau-pulau di Semporna.

Bagi menyempurnakan hasrat tersebut, seramai 21 penyelidik daripada pelbagai agensi termasuk Taman-Taman Sabah, penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah dan Agensi Remote Sensing Malaysia menyertai ekspedisi bagi mengumpul maklumat dalam usaha mewartakan Teluk Darvel. – SabahNewsToday