Pilih Bahasa

BMT untuk keluarga sepupu saya: Madius

Oleh Chris Maskilone

KOBE, Jepun: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengakui kebun getah beliau mendapat bantuan musim tengkujuh (BMT).

“Terima kasih kepada skim ini. Ya, saya ada sebidang tanah, sepuluh ekar, di Tamparuli dan ditanami getah sejak sekian lama.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar Fail SNT

“Yang mengusahakan kebun itu ialah keluarga sepupu saya, Taimin Gindalan dan beliau juga lah yang mengambil inisiatif mendaftarkan kebun itu untuk BMT. Dan sejak sekian lama, BMT yang diterima, saya hulurkan kepada dia,” kata beliau.

Madius berkata demikian dalam satu kenyataan untuk menjelaskan kedudukan sebenar setelah tular di media sosial nama beliau sebagai pengusaha pekebun kecil getah yang turut menerima BMT RM600.

Madius, yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian, berkata BMT adalah untuk tiga bulan sahaja namun “saya dengan rendah hati memberikan juga elaun setiap bulan kepada beliau.”

Madius terharu kerana keluarga Taimin, terutama isteri beliau Sunah Gani sangat komited dan “begitu sayang dengan kebun itu.”

Screenshot cekrol pembayaran BMT LIGS yang tular. Gambar SNT/Sumber sosial media

Madius kini sedang berada di negara Matahari Terbit mengetuai Kementerian beliau dalam misi perdagangan sejak 28 Nov hingga 6 Disember ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong juga memberi komen bahawa Madius layak menerima BMT bagi kebun getah beliau yang terletak di Kampung Guakon Tamparuli.

BMT diberikan kepada pekebun kecil oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
-SabahNewsToday