Pilih Bahasa

BN guna PSS tutup kegagalan bawa pembangunan di Sabah – Shafie Apdal

KIMANIS, 10 Jan — Pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) sengaja dipolitikkan Barisan Nasional (BN) bagi menutup kegagalan mereka membawa pembangunan ke Sabah sebelum ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berucap ketika berkempen bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di kawasan PDM Simpangan hari ini. Gambar Bernama

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata kegagalan tersebut termasuk dalam menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik walaupun BN menerajui kerajaan Sabah dan Persekutuan sejak sekian lama.

“Mereka (BN) kata Warisan ini parti pendatang tanpa izin (PTI), tetapi mereka tidak boleh cerita isu pembangunan, mereka juga tidak boleh cerita isu sekolah, kerana apa, kerana mereka telah perintah 50 tahun (di Sabah) dan mereka gagal.

“Mereka guna (isu) PTI untuk ambil (raih) undi, dan kasi pecah (perpaduan) orang Sabah …supaya (kita) gaduh sesama orang Sabah,” katanya ketika berkempen bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di kawasan Simpangan di sini hari ini.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Muhyiddin berkata pengeluaran PSS, antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata peguamnya hari ini menghantar surat menggesa Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan supaya memohon maaf kerana memfitnah Warisan.

“(Sebelum ini) Saya juga ada minta peguam saya untuk melihat kembali video rakaman (ucapan Mohamad Hasan) yang dikeluarkan. Nak raih undi pun janganlah buat macam itu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK Kimanis pada 18 Jan, manakala pengundian awal 14 Jan.

— BERNAMA