Pilih Bahasa

BN pertahan Kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 2,029

Oleh Chris Maskilone

BEAUFORT: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen P.176 Kimanis apabila calonnya Datuk Mohamad Alamin mengalahkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 hari ini.

Mohamad mendapat 12,706 undi  sementara Karim pula mendapat 10,677.

Keputusan tidak rasmi selepas semua 70 peti undi diterima pada jam 8 malam. Gambar SNT/Chris Maskilone

Ini berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penjumlahan rasmi undi PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.-SabahNewsToday