Pilih Bahasa

BOIKOT TIDAK JEJAS RENTAK, SABAH FOKUS CIPTA KEMENANGAN: JELIUS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Keinginan besar pemain Sabah untuk memburu kemenangan pertama terjelma setelah membenam Terengganu FC II dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium LIkas, semalam.

Selepas hanya mampu meraih satu mata dalam dua perlawanan terdahulu, anak buah Jelius Ating akhirnya meraih tiga mata di gelanggang sendiri dan kejayaan itu dilihat menyuntik semangat mereka untuk meneruskan rentak kemenangan.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating. – Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

Pengendali skuad Tambadau itu berkata dia berpuas hati dengan aksi dipamerkan pemainnya yang tidak putus asa untuk mencipta jaringan meskipun ketinggalan 0-1 dalam separuh masa pertama.

“Ini satu peningkatan amat baik buat pasukan dan pemain. Apa yang saya lihat hari ini pemain bersungguh-sungguh dan mempunyai keinginan besar untuk memenangi perlawanan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Sabah menentang Terengganu FC II semalam.

“Mereka membuktikan bahawa Stadium Likas masih gelanggang keramat buat Sabah. Kami gembira dengan kemenangan malam ini (semalam) disebalik tindakan segelintir peminat yang mahu memboikot perlawanan kita,” katanya.

“Memang kami mengharapkan sokongan penyokong kita tapi bila mereka tidak datang kita bagaimana kita memaksa mereka tetapi apa yang penting di sini adalah sikap penyokong itu, bersungguh-sungguh atau tidak,” katanya apabila ditanya samaada isu penyokong boikot perlawanan menjejaskan permainan Sabah.

“Kami hanya fokus kepada perlawanan dan dari segi boikot ia tidak menjejaskan permainan kami,” katanya.

Sebelum perlawanan menentang Terengganu FC II, beberapa kelab penyokong Sabah telah berkempen di media sosial supaya penyokong memboikot perlawanan tersebut dipercayai ada kena mengena dengan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa peraturan yang dikuatkuasakan oleh kepimpinan baharu Safa.

Dalam perlawanan itu, Terengganu FC II mendahului tuan rumah menerusi jaringan Mohammad Ramzi Sufian pada babak pertama permainan.

Begitupun semangat skuad Tambadau tidak luntur apabila mengejutkan pasukan pelawat dengan tiga gol yang dijaringkan pada masa kedua permainan.

Gol pertama Sabah dijaringkan pemain import dari Korea, Taesu Park yang menyempurnakan tendangan sudut Sabri Sahar pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kemudian Luka Milunovoc berjaya menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter yang gagal ditampan penjaga gol Terengganu FC II, Mohd Sharmiza Yusoff pada minit ke-64 manakala pemain gantian, Ricco Nigel Milus melengkapkan kemenangan bergaya Sabah minit ke-73.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Sabah kini menduduki tangga kelima dengan mengutip empat mata daripada satu kemenangan dan seri.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Peter Anthony berkata beliau gembira dengan aksi skuad Tambadau yang membuktikan kemampuan sebenar mereka dalam perlawanan itu.

“Saya harap kemenangan ini adalah titik mula Sabah untuk terus memburu kemenangan demi kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Masih ada kelemahan yang perlu dibaiki dan percaya pasukan ini akan terus bertambah baik,” katanya yang turut berada di stadium memberi sokongan kepada skuad Tambadau semalam.-SabahNewsToday