Pilih Bahasa

Bola itu bulat, tiada yang mustahil: Peter

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Juara Liga Premier 2019, Tambadau Sabah akur dengan gelaran “underdog” dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Sebagai “underdog” atau pasukan bukan pilihan, Sabah juga telah diundi dalam Kumpulan C yang dianggap sebagai kumpulan maut oleh ramai para pemerhati sukan bola sepak negara.

Peter ketika ditemui. Di sebelah beliau ialah Piala Juara Liga Premier 2019. Gambar SNT/Chris Maskilone

Ini disebabkan bersama-sama Tambadau Sabah dalam kumpulan C nanti ialah naib juara Liga Super musim ini, Pahang, juara bertahan Perak dan pasukan liga premier Pulau Pinang.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony berkata semasa Liga Premier baru-baru ini, Tambadau Sabah pun bukanlah pasukan pilihan apatah lagi untuk menjadi juara liga.

“(Tetapi) Berkat kerjasama dan kesungguhan daripada pihak pengurusan Safa, pengurusan pasukan dan para pemain, Tambadau Sabah akhirnya mencapai kejayaan menjuarai Liga Premier.

“Untuk Piala Malaysia, kita sedar ramai kalangan peminat bolasepak tanah air mengatakan bahawa Sabah, yang diundi dalam Kumpulan C, berada di dalam kumpulan maut.

“Sememangnya kita akui Pahang, Perak dan Pulau Pinang bukan pasukan calang-calang,” katanya.

Namun, mengambil iktibar daripada keputusan Liga Premier musim ini, Peter yakin tiada yang mustahil bagi Tambadau Sabah

“Bola itu bulat maka apa-apa pun boleh terjadi,” katanya ketika diminta mengulas keputusan undian oleh MFL kelmarin.

Motto Tambadau Sabah ialah “biar tunduk asal menanduk”, dan itulah yang menjadi pedoman kepada pasukan, katanya.

Mengenai persediaan pasukan bagi menghadapi kancah Piala Malaysia ini, Peter berkata pada mulanya pihak pengurusan telah menimbangkan bermain dengan pasukan liga negara Korea Selatan.

Malangnya, liga Korea pula sedang rancak sekarang begitu juga dengan liga negara-negara Asean seperti Filipina dan Indonesia, katanya.

Oleh itu, beliau membuat keputusan Tambadau Sabah akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan di semenanjung sebagai pemanas badan.

Perlawanan kumpulan pertama Sabah dijangka dengan Pulau Pinang di Stadium Likas pada 3 Ogos nanti.

Menurut Peter, sasaran Tambadau Sabah untuk Piala Malaysia musim ini ialah memasuki peringkat suku akhir atau separuh akhir.

Untuk rekod Sabah berjaya sampai ke separuh akhir dalam Piala Malaysia musim lalu tetapi kemaraan mereka dihentikan oleh Perak yang seterusnya menjuarai kejohanan.-SabahNewsToday