Pilih Bahasa

BOLEH, TETAPI BUKAN DIJADIKAN ANAK NEGERI – EWON

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Bumiputera bukan Anak Negeri dan bukan Bumiputera boleh dilantik sebagai ketua masyarakat masing-masing namun bukan sehingga mereka dimasukkan sebagai Anak Negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata semua komuniti Bangsa Sabah yang sah melalui Perlembagaan Negeri berhak untuk mengurustadbirkan warisan adat dan budaya mereka melalui pelantikan Ketua Adat atau Ketua Masyarakat.

Datuk Ewon Benedict. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Saya juga berpendirian, sama seperti komuniti Cina yang mempunyai sistem Ketua Masyarakat Cina iaitu Kapitan, maka masyarakat Bugis dan Jawa juga berhak memiliki sistem Ketua Masyarakat mereka.

“Mereka boleh dipanggil sebagai Ketua Masyarakat Bugis dan Ketua Masyarakat Jawa, tetapi bukan atas nama sebagai Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri kerana saya masih berpendapat rakan-rakan komuniti ini sebagai Orang Asal di negara jiran tidak termasuk sebagai Orang Asal / Anak Negeri Sabah,” katanya.

“Ini adalah pendirian saya,” kata Ewon yang juga Adun Kadamaian merangkap naib presiden Upko dalam satu kenyataan hari ini di sini.

Menurut Ewon, keunikan sejarah peradaban komuniti di Sabah yang bermula pada sebelum, semasa dan selepas perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia perlu dihargai.

“Dan kerana itulah, saya menganggap Ordinan Intepretasi (Definasi Anak Negeri) Sabah sebagai satu bentuk kontrak sosial yang istimewa dan wajar dipertahankan kerana itulah yang mengtaktrifkan kewujudan masyarakat Orang Asal di Sabah, yang diperakukan sebagai Anak Negeri dalam istilah perundangan di Sabah,” katanya.

Ewon berpendapat komuniti Bumiputera Anak Negeri berhak sepenuhnya kepada pentadbiran adat dan budaya mereka, termasuk hal-ehwal berkaitan Mahkamah Anak Negeri, kerana itulah mahkamah adat buat mereka sebagai Orang Asal.

Dalam pada itu, beliau akan mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai perkara ini dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri Sabah esok.

“Jika Ordinan Intepretasi (Definasi Anak Negeri) Sabah mahu diperkasakan, maka pendirian saya berpandu kepada Hasil Laporan Jawatankuasa Kajian Etnik Sabah 2008 tersebut,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Ewon menaruh harapan bahawa Bangsa Sabah akan terus hidup harmoni bersama dan bekerjasama sebagai pasukan Sabah.

“Meskipun kita ini tergolong sebagai komuniti Bumiputera Anak Negeri, Bumiputera Bukan Anak Negeri atau Bukan Bumiputera, pada akhirnya, kita semua adalah keluarga besar Bangsa Sabah,” katanya.-SabahNewsToday