Pilih Bahasa

Bom lama ditemui di Labuan

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan bukit belakang rumah Kampung Tanjung Kubong, di sini, pagi tadi.

Bom jenis ‘Ariel Bom’ berat hampir 250 kilogram ditemui pekerja ketika melakukan aktiviti mengorek dan meratakan tanah untuk tapak pembinaan, jam 9.30 pagi.

Bom lama dipercayai peninggalan perang dunia Kedua ditemui di kawasan bukit Kampung Tanjung Kubong, Labuan. Gambar SNT/ Ihsan IPD Labuan

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan bersama lima anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan bom itu masih mempunyai sifat yang lengkap dan mengesahkan objek itu adalag sebutir bom jenis ‘Ariel Bom’ dipercayai peninggalan perang dunia ke-2.

“Susulan itu, polis mengambil langkah keselamatan dengan membuat kawalan di sekeliling objek yang ditemui dan dipasang pita keselamatan polis,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Muhamad berkata, tindakan pemusnahan objek telah dijalankan oleh anggota UPB IPD Labuan.

“Terdapat penempatan dan bangunan yang berhampiran tempat objek itu ditemui pada jarak dalam anggaran 100 ke 250 meter dari objek berkenaan.

“Ketika tugas pemusnahan dilaksanakan, tiada kerosakan harta benda awam serta kecederaan berlaku,” katanya. – SabahNewsToday