Pilih Bahasa

BOM TINGGALAN PERANG DUNIA KEDUA SELAMAT DIMUSNAHKAN

Oleh Alfred Petrus

Antara pasukan keselamatan yang berusaha menghapuskan bom tersebut dengan selamat bergambar dengan tinggalan bom yang telah diletupkan. Gambar SNT/Ehsan Polis

KUDAT: Sebutir bom lama peninggalan perang dunia kedua berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata bom yang dijumpai oleh seorang lelaki ketika sedang membersihkan kawasan kebun di Kampung Pinangsoo pada Sabtu itu berjaya dimusnahkan kira-kira pukul 4.22 petang.

“Lebih kurang pukul 8 pagi, kerja-kerja pemusnahan bom telah dimulakan dan telah selesai sepenuhnya pada pukul 5.15 petang.

Proses memusnahkan bom tersebut. Gambar SNT/Ehsan Polis

“Bom berjaya dimusnahkan sepenuhnya pada pukul 4.22 petang dengan lancar dan selamat.

“Jabatan-jabatan lain yang terlibat adalah bomba, hospital, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Penerangan Kudat. Semasa proses pemusnahan bom dijalankan, jalan utama (jalan Pinangsoo) telah ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi SabahNewsToday di sini pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Firdaus berkata seorang lelaki sedang membersihkan kawasan kebun di Pinangsoo lalu menjumpai satu objek besi berukuran tiga kaki panjangnya yang disyaki bom.

Keadaan bom tinggalan perang dunia kedua setelah dimusnahkan. Gambar SNT/Ehsan Polis

Katanya selepas mendapat panggilan berkenaan penemuan tersebut, seorang pegawai dan tiga anggota Bahagian Persenjataan IPK Sabah bergegas ke lokasi kejadian dan telah membuat penilaian kawasan rancangan pemusnahan.

Jelasnya selepas pemeriksaan dan penilaian dibuat mendapati objek tersebut adalah bom jenis Air Drop berdiameter 76 sentimeter dan dipercayai bom lama perang dunia kedua. -SabahNewsToday