Pilih Bahasa

BOMBA SABAH BENTUK PELAPIS HARGAI WARGA EMAS

Oleh Alfred Petrus

PAPAR: Dalam memastikan khidmat operasi yang cekap, berkesan dan sistematik bagi melindungi nyawa dan kemusnahan harta benda masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sabah Mohammad Taquiddin Victor Don berkata JBPM Sabah telah mengadakan lawatan amal ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut yang dihadiri seramai 55 orang pelatih Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 2/2018 hari ini.

“Antara pengisian program lawatan ialah melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan dan ramah mesra bersama-sama seramai 89 orang warga emas yang berada di sini.

“Objektif utama program amal ini adalah melaksanakan CSR kepada masyarakat serta menghargai warga tua seterusnya mengukuhkan kerjasama dan perkongsian tanggungjawab dalam kalangan pelatih,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya program-program tanggungjawab sosial seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ia adalah bagi membentuk generasi pelapis bomba yang menyantuni dan menghargai warga emas dalam aspek pelaksanaan tugas,” jelasnya. -SabahNewsToday