Pilih Bahasa

BOMBA SELAMATKAN DOKTOR WANITA CEDERA DI PUNCAK GUNUNG KINABALU

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota bomba menyelamatkan pendaki wanita yang mengalami kecederaan ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu, awal pagi tadi. Gambar SNT/ Ehsan PGO Bomba

RANAU: Seorang doktor wanita melalui detik cemas apabila mengalami kecederaan di bahagian paha kaki kiri sewaktu menuruni puncak Gunung Kinabalu, awal pagi tadi.

Mangsa, Dorothy Junie Ak John Nuing, 42, berasal daripada Sarawak dipercayai tergelincir ketika cuba turun daripada puncak di Kilometer Lapan (KM8) sehingga mengakibatkan kecederaan.

Anggota bomba menyediakan peralatan untuk mengusung mangsa turun ke kaki gunung. Gambar SNT/Ehsan PGO Bomba

Ketua Operasi, Hafizul Guntor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Taman-Taman Sabah sekitar jam 8.10 pagi untuk memaklumkan kejadian terbabit.

Hafizul berkata beliau terus ke lokasi dilaporkan bersama tujuh anggota daripada Balai Bomba Ranau termasuklah lima anggota pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MoSAR) selain sebuah jentera EMRS.

Anggota MoSAR berusaha membawa mangsa turun dari puncak Gunung Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan PGO Bomba

“Setibanya di puncak, kita dapati memang terdapat seorang pendaki wanita tempatan tercedera dan memerlukan rawatan segera.

“Kita turut dimaklumkan paha pendaki berkenaan mempunyai sambungan besi akibat  kecederaan lama.

Mangsa sedang dibawa turun ke kaki gunung. Gambar SNT/Ehsan PGO Bomba

“Anggota MoSAR dengan bantuan PARK SAR membuat pemeriksaan ke atas mangsa sebelum memberi rawatan awal kecemasan.

“Mangsa diangkat hingga ke Laban Rata dan terus dibawa ke Timpohon Gate,” katanya.

Anggota bomba memberikan rawatan kecemasan awal kepada pendaki wanita yang mengalami kecederaan ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu awal pagi tadi. Gambar SNT/ Ehsan PGO Bomba

Hafizul berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan EMRS untuk dibawa ke Hospital Ranau bagi memdapatkan rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.40 petang. -SabahNewsToday