Pilih Bahasa

Bomba terima tujuh aduan pokok tumbang susulan angin kencang dan hujan lebat

Oleh Junaidi Ladjana

Pokok tumbang yang menghempap kereta di Jalan Lintas Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima tujuh aduan berkaitan pokok tumbang susulan angin kencang dan hujan lebat di negeri ini semalam dan berlarutan hingga petang tadi.

Antara kawasan berkenaan iaitu di Jalan Jabatan Kimia Kota Kinabalu, Jalan Lintas, The Bay Residence Likas, Kipuvo Jalan Madsiang Penampang, Kampung Bekalau Beaufort, Sikuati Kudat dan Bukit Sinsilau Sook.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan yang membabitkan kejadian pokok tumbang yang berlaku akibat hujan lebat dan angin kencang di seluruh negeri.

Anggota bomba memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kereta di The Bay Residence Likas. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terbabit iaitu BBP Kota Kinabalu, Lintas, Sook, Beaufort, Penampang, Kudat bertindak ke tempat kejadian yang dilaporkan.

“Pokok berkenaan menghalang jalan raya di lokasi kejadian dan terdapat dua kenderaan dihempap pokok tumbang bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.

“Operasi memotong serta mengalihkan pokok yang tumbang dan menghalang jalan raya serta menghempap kenderaan dilakukan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Anggota bomba membantu mengalihkan pokok tumbang yang menghempap sebuah kenderaan. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Dalam pada itu, hujan lebat dan angin kencang itu turut membabitkan bumbung rumah, masjid diterbangkan angin selain kerosakan terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di seluruh kawasan perairan dan pesisiran pantai barat dan pantai timur Sabah sehingga 15 September ini.

Menurut jabatan itu, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – SabahNewsToday