Pilih Bahasa

Bonsai Faizal semakin mendapat permintaan

TAMPARULI, 30 Dis — Bermula hanya sebagai hobi membentuk bonsai bagi mengisi waktu lapang, kini pohon kerdil hasil kreativiti seorang pengusaha tapak semaian bunga di daerah ini sejak setahun lalu semakin mendapat perhatian serta permintaan peminat tumbuhan itu.

Bonsai ciptaan Faizal memikat ramai pengemar. Gambar Bernama

Walaupun masih baharu dalam penanaman bonsai, hasil kerja seni Faizal Abdul Rauf, 32, yang mengusahakan tapak semaian bunga di Kampung Tamparuli di sini sudah memikat hati penggemar tumbuhan itu dan ini sekali gus melonjakkan semangat beliau untuk terus mencipta lebih banyak bonsai bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Mencipta bonsai sedikit rumit berbanding menanam bunga, kerana bonsai perlu sentiasa dijaga dan dibentuk mengikut kehendak kita supaya hasilnya kelihatan menarik.

“Apabila bonsai mempunyai bentuk cantik, nilainya juga boleh meningkat beberapa kali ganda dan menjadi buruan penggemarnya,” kata Faizal kepada Bernama, di sini.

Sungguhpun pada mulanya Faizal tidak mempunyai kemahiran membentuk bonsai, namun kerana minat mendalam beliau mempelajarinya dan kini beliau semakin mahir menghasilkan tanaman itu.

“Setakat ini, saya banyak mengeluarkan bonsai jenis mamee siam dan buccus, yang mendapat permintaan tinggi peminat tanaman itu dari daerah sekitar seperti Kundasang, Ranau, Sandakan dan Tawau.

“Setiap bonsai siap pasu dan bunga dijual antara RM25 hingga RM280 sepohon. Setakat ini, saya mampu menyiapkan 10 bonsai sebulan,” katanya.

Beliau berkata, benih bagi menghasilkan bonsai disemainya sendiri, manakala kayu yang dijadikan struktur hiasan tumbuhan itu diperoleh dari hutan dan tebing sungai berhampiran tanpa sebarang kos.

Selain bonsai, bapa kepada empat orang anak itu memiliki lebih 300 spesies bunga yang tidak hanya dijual, malah digunakan jika ada pelanggan mahu membina landskap.

Faizal turut mengambil tempahan membuat pasu bunga sebagai sumber ekonomi keluarga dan mampu menyiapkan sehingga 20 biji pasu sehari yang dijual pada harga antara RM3 hingga RM45 sebiji.

— BERNAMA