Pilih Bahasa

Bot dinaiki dipercayai berlanggar dengan bot ditunda

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Laluan jeti dihadkan untuk anggota penyelamat. – Gambar SNT/Ihsan Pas Sandakan

SANDAKAN: Bot yang membawa 37 penumpang termasuk 28 pelajar dan juragan dipercayai berlanggar dengan sebuah bot yang sedang ditunda berhampiran Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM), dekat sini pagi tadi. 

Bagaimanapun dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, seorang mangsa Azman Ongkal, 40, hilang dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan. 

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata bot penumpang yang dikemudi oleh seorang lelaki sedang bergerak dari Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bot terbabit terlanggar sebuah bot lain yang sedang ditunda sebelum karam. Orang awam yang menyaksikan kejadian bertindak menyelamatkan mangsa. 

“Seramai 36 penumpang termasuk juragan berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa masih hilang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk rawatan. 

Katanya tiga daripada mangsa terselamat berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. 

Mohd Azhar berkata operasi SAR membabitkan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). – SabahNewsToday