Pilih Bahasa

Bot dipukul ombak, tiga pemancing ditemui selamat

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tiga pemancing lelaki menempuh detik cemas apabila bot yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak hingga menyebabkan mereka jatuh ke laut di perairan Sungai Tawau, semalam.

Ketiga-tiga mangsa berusia 17 hingga 46 tahun dilaporkan keluar memancing di perairan terbabit pukul 5.30 petang sebelum kejadian berlaku.

Bot yang dinaiki tiga mangsa dipukul ombak ketika sedang memancing di perairan Sungai Tawau semalam.

Ketika kejadian, seorang mangsa, Samri Sundu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan pantai berhampiran manakala dua pemancing lagi dihanyutkan ombak.

Ekoran kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian terbabit.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menggerakkan anggota peronda APMM pukul 6.50 petang selepas menerima maklumat awal bagi melakukan pencarian di lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa selamat ditemui oleh org awam dua jam kemudian dengan berpaut pada tong gelen. Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Selepas dua jam melakukan pencarian, kita menerima maklumat bahawa dua lagi mangsa dikenali sebagai Shahrul Lizam Rizman dan Azman Abd Rahim ditemui selamat oleh orang awam yang turut melakukan pencarian di kawasan perairan Batu 4 Jalan Apas.

“Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat namun keletihan ketika ditemui dimana mereka sedang berpaut di tong gelen dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke dalam bot APMM untuk dibawa ke Hospital Tawau bagi menerima rawatan.

Justeru itu, beliau menasihati orang awam supaya sentiasa utamakan keselamatan ketika keluar ke laut.

“Orang awam disaran supaya menggunakan jaket keselamatan bagi mengelak kejadian buruk berlaku dan sentiasa peka dengan perubahan semasa cuaca ketika keluar ke laut,”katanya.-SabahNewsToday