Pilih Bahasa

Bot nelayan Brunei karam: Dua mayat ditemui dan dikeluarkan dari bot karam

Oleh Junaidi Ladjana

Pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat kru bot nelayan Brunei selepas ditemui di dalam bangkai bot berkenaan di Pulau Kuraman, Labuan. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

KOTA KINABALU: Dua mayat kru bot nelayan Brunei yang dilaporkan hanyut pada 7 Ogos lalu berjaya dikeluarkan dalam bot berkenaan melalui satu operasi mencari dan mengesan bangkai bot berkenaan di Labuan, kelmarin.

Bangkai bot itu ditemui pasukan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan bersama Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Jabatan Laut Malaysia (JLM), pemilik bot bersama sembilan penyelam kira-kira 21 batu nautika barat laut Pulau Kuraman, Labuan.

Operasi menyelamat ini mendapat kebenaran daripada Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Kuala Lumpur dengan kelulusan daripada Kementerian Luar Malaysia dan dipantau Maritim Malaysia Sabah dan Labuan selepas menerima permohonan daripada pemilik bot melalui Kementerian Luar Brunei.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia Sabah, Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata operasi mengesan bangkai bot kali ini dilakukan secara bersepadu membabitkan JPDS, JLM, pemilik bot dan bantuan penyelam.

“Operasi yang bermula pukul 9 pagi dan selesai lapan jam kemudian berjaya mengeluarkan mayat pertama kira-kira pukul 1 tengah hari manakala mayat kedua dinaikan pada 3.30 petang.

“Operasi mengesan bangkai bot dan mengeluarkan mayat hasil bantuan semua pihak terutama dengan adanya petunjuk yang diberikan oleh mangsa yang hidup melalui rakaman percakapan dan ‘Last Known Position’ yang diberikan oleh National Search And Rescue Coordination Committe (NRCC) Brunei,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mayat berjaya dikeluarkan daripada bangkai bot yang karam di Pulau Kuraman, Labuan. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Menurutnya, kedua-dua mayat seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Zon Labuan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, pada 8 Ogos lalu, Maritim Malaysia melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan kru bot nelayan Brunei selepas menerima maklumat daripada NRCC Brunei memohon bantuan mengesan 11 nelayan mereka yang dikhuatiri hanyut selepas bot mereka tenggelam akibat ombak kuat dipercayai di kawasan perairan Brunei.

Ketika kejadian, empat kru bot turut tenggelam bersama-sama dengan bot berkenaan manakala tujuh selamat selepas sempat terjun dari bot dan terapung beberapa hari hingga hanyut ke perairan Malaysia.

Lima kru bot yang terapung di laut dikatakan tidak dapat bertahan dan turut tenggelam manakala dua mangsa dua mangsa ditemui selamat di perairan Pulau Tiga.

Bagaimanapun salah seorang mangsa yang selamat, disahkan meninggal dunia pada 10 Ogos lalu. – SabahNewsToday