Pilih Bahasa

BOT NELAYAN PUKAT JERUT DITAHAN APMM

Oleh Alfred Petrus

Antara bot nelayan pukat jerut yang ditahan APMM. Gambar SNT/Ehsan APMM

LAHAD DATU:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Khamis menahan dua buah bot nelayan pukat jerut disyaki melanggar syarat lesen perikanan dengan menceroboh kawasan nelayan pesisir pantai.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, sebuah bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan dua buah bot semasa sedang leka menangkap ikan di kedudukan lebih kurang 0.37 batu nautika selatan Kampung Bakapit.

“APMM Lahad Datu berjaya menahan sembilan orang kru bot yang mana dua orang daripadanya adalah warga Filipina.

“Semasa pemeriksaan, kedua-dua tekong bot telah mengemukakan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah beserta dokumen awak-awak.

Bot nelayan pukat jerut yang sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kedudukan kurang daripada tiga batu nautika dari daratan. Gambar SNT/Ehsan APMM

“Bot tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat lesen iaitu bot tersebut perlu menangkap ikan di jarak 3 batu nautika dari pantai.

“Jika disabitkan kesalahan pemilik bot boleh dikenakan kompaun atau denda maksima RM1,000,” katanya.

Tambahnya tangkapan tersebut juga merupakan sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan kepada pelanggaran Akta Perikanan 1985 di laut.

Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus menggandakan usaha bagi mencegah berlakunya sebarang pelanggaran syarat di laut serta dengan sedaya upaya mengekang sekiranya ada pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) terutama di perairan Sabah daripada menghantui komuniti Maritim setempat. -SabahNewsToday