Pilih Bahasa

Bot penumpang dari Pulau Gaya diarah patah balik

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Beberapa bot yang membawa penumpang dari Pulau Gaya menuju ke Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, diarah berpatah balik selepas sekatan sebarang aktiviti pergerakan dilaksanakan di kawasan pulau berkenaan, bermula semalam.

Semua bot penumpang itu mula berkumpul dan mendekati Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, kira-kira jam 5 petang tadi.

Anggpta polis memberikan penjelasan kepada penumpang bot dari Pulau Gaya selepas merapat di jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kebanyakan penumpang yang menaiki bot itu memberi alasan untuk ke Kota Kinabalu bagi membeli barang.

Bagaimanapun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan itu meminta mereka berpatah balik.

Disebabkan semua pasar raya atau dan premis telah ditutup.

Kelihatan bot penambang merapat dengan Bot Pengawal 38 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) untuk disoal tujuan para penumpang ke pusat bandar sebelum dibenarkan merapat ke jeti Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pergerakan dari Pulau Gaya ke tanah besar dihentikan serta merta kecuali hal-hal yang mustahak.

“Anggota APMM yang bertugas seramai 11 orang dengan dua bot rondaan mengarah semua mereka berpatah balik ke Pulau Gaya.

Anggota APMM mengarahkan semua bot membawa penumpang yang merapat di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, untuk berpatah balik susulan sekatan sebarang pergerakan di kawasan berkenaan. Gambar SNT/Ihsan APMM

“APMM akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan bagi melaksanakan PKP ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengesahkan Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes Covid-19 dikesan di kawasan berkenaan.

Keadaan jeti bot penambang di Pasar Besar Kota Kinabalu ketika malam. Operasi di jeti berkenaan dihadkan dari jam 7 pagi hingga 9 pagi dan pada jam 5 petang hingga 7 malam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pasukan perubatan telah masuk ke pulau itu untuk melakukan pemeriksaan. – SabahNewsToday