Pilih Bahasa

Bot pukat tunda langgar syarat lesen ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kota Kinabalu menahan sebuah bot pukat tunda bersama juragan dan tiga awak-awak kerana didapati melanggar syarat lesen.

Bot dan semua suspek berusia 20 hingga 40 tahun ditahan pada kedudukan 0.8 batu nautika Kampung Numbak, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Bot pukat tunda langgar syarat lesen ditahan Maritim Malaysia Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan APMM

Timbalan Pengarah Operasi APMM Sabah dan Labuan, Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, bot peronda yang sedang melakukan Ops Naga Timur dan Ops Sejahtera mengesan dan menahan sebuah bot pukat tunda.

“Hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tidak sama seperti di dalam lesen bot berkenaan. Juragan dan tiga awak-awak ditahan walaupun mempunyai dokumen diri yang sah.

“Bot dan semua suspek diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Asmawati berkata pihaknya masih melaksanakan Operasi Khas iaitu Ops Naga Timur dilaksanakan oleh Maritim Malaysia pada 1 Ogos 2019 yang lalu.

Sehubungan itu, Asmawati berkata, Maritim sentiasa melakukan rondaan, risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti yang melanggar syarat sah lesen, aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

“Saya menegaskan bahawa pihak maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik bot nelayan tempatan yang melanggar syarat lesen, serta pihak dan individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

“Maritim Sabah dan Labuan mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan jenayah di laut ke talian 088-387774 Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan,” katanya. – SabahNewsToday