Pilih Bahasa

Bot tunda ditahan tangkap ikan di pesisir pantai

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot pukat tunda selepas didapati menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari kawasan pantai, di perairan Tanjung Merangis Pulau Gaya, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata tangkapan dilakukan sepasukan PPM yang sedang meronda untuk memantau kawasan perairan dalam Op Gelora, kira-kira jam 12 tengah hari.

Bot tunda yang ditahan kerana menjalankan aktiviti di kawasan nelayan tradisional. Gambar SNT/Ihsan PPM

Katanya ketika melalui kawasan perairan berkenaan, kapal tunda berkenaan didapati sedang menangkap ikan di kedudukan yang sangat hampir dengan persisiran pantai Pulau Gaya.

“Pemeriksaan dilakukan dan mendapati bot nelayan itu memukat ikan pada jarak yang tidak dibenarkan mengikut lesen yang dikeluarkan kepada bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 3 kilogram dan pelbagai jenis udang dianggarkan seberat 20 kilogram dipercayai hasil daripada kegiatan memukat di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jurangan dan awak-awak bot ditahan bagi membantu siasatan. Gambar SNT/Ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata semua awak-awak dan juragan bot berkenaan yang ditahan berusia lingkungan 20-an.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan yang membabitkan harga bot tunda, pukat gulung dan pelbagai jenis ikan dianggarkan bernilai RM330,000,” katanya.

Menurutnya, kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen Perikanan. -SabahNewsToday